Bagaimana kita menyambut Syawal?

Berakhirnya Ramadan bukan bererti kembali kepada sikap, perangai buruk

BERBELANJA secara berhemah ketika Ramadan hendaklah diteruskan pada Syawal dan tidak perlulah membazir dan berlebih-lebih. Foto Pexels
BERBELANJA secara berhemah ketika Ramadan hendaklah diteruskan pada Syawal dan tidak perlulah membazir dan berlebih-lebih. Foto Pexels
A
A
A

UMUM mengetahui bahawa Hari Raya Aidilfitri hanya disambut pada 1 Syawal sahaja menurut Islam.

Bagaimanapun uniknya di negara kita, umat Islam merayakannya lebih daripada satu hari, bahkan sepanjang Syawal dan turut diraikan oleh sebahagian golongan non-Muslim.

Memandangkan ziarah-menziarahi kaum kerabat, sanak saudara dan sahabat handai yang tidak mungkin dapat diselesaikan dalam tempoh sehari, maka aktiviti tersebut ditangguhkan ke hari yang lain namun masih mengekalkan suasana raya.

Perkara tersebut merupakan satu amalan yang baik selagi mana ia tidak bercanggah dengan syariat Islam, menurut Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam khutbah Jumaat yang bertajuk 'Bagaimana kita menyambut Syawal?'

SEBULAN melatih diri mengawal nafsu tidak berakhir apabila tamatnya Ramadan, sebaliknya istiqamah setiap masa. Gambar Hiasan/Foto Pexels
SEBULAN melatih diri mengawal nafsu tidak berakhir apabila tamatnya Ramadan, sebaliknya istiqamah setiap masa. Gambar Hiasan/Foto Pexels

Bukan waktu kembali berperangai buruk

Menurut JAIS, umat Islam sewajarnya menjadikan Syawal sebagai masa untuk terus bersyukur dan beristiqamah menjadi hamba ALLAH SWT yang soleh setelah sebulan bertungkus lumus melawan godaan hawa nafsu pada bulan Ramadan.

Artikel Berkaitan:

“Aidilfitri bukannya waktu untuk kita kembali kepada sikap dan perangai lama yang kurang baik.

“Jadikanlah Ramadan yang dilalui sebagai pendidik untuk kita terus menjadi hamba ALLAH SWT yang rabbani sesuai dengan matlamat berpuasa itu sendiri agar kita menjadi hamba ALLAH yang bertakwa,” jelasnya.

Mengulas mengenai konsep kehambaan, ia tentunya menuntut kita agar sentiasa mengingati dan membesarkan ALLAH SWT bukan semata-mata hanya pada hari raya sahaja, namun perlulah dilakukan secara berterusan pada setiap masa dan ketika.

“Janganlah kita menjadi orang yang sering lalai daripada mengingati dan membesarkan ALLAH SWT sehingga akhirnya nanti menjadi orang yang jauh daripada reda dan rahmat-NYA, seperti dijelaskan ALLAH dalam ayat ke-124 Surah Taha:

“Dan sesiapa yang berpaling ingkar daripada peringatan dan petunjuk-KU, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta.”

Jauhi perkara bertentangan syarak

Dalam khutbah tersebut juga, khatib mengingatkan para jemaah agar tidak mencemari Syawal dengan perkara-perkara yang bertentangan dengan hukum syarak. Antara yang ditekankan ialah:

1 - Jika kita berjaya menjaga lidah semasa Ramadan daripada perbuatan mengumpat, mencaci dan menghina orang lain, maka janganlah jadikan Syawal masa untuk kembali kepada perkara yang dibenci ALLAH SWT itu.

BERAKHIRNYA Ramadan bukan bererti kembali kepada sikap dan perangai yang buruk yang boleh 'menggelapkan' hati. Gambar hiasan/Foto Pexels
BERAKHIRNYA Ramadan bukan bererti kembali kepada sikap dan perangai yang buruk yang boleh 'menggelapkan' hati. Gambar hiasan/Foto Pexels

2 - Jika kita berjaya menjaga hati daripada perbuatan sombong, riak dan bangga diri, maka janganlah jadikan Syawal sebagai masa untuk menunjuk-nunjuk dan mempamerkan harta benda mewah atau barang baru.

3 - Jika kita berjaya berjimat cermat sebelum ini, maka janganlah jadikan bulan Syawal masa untuk kita melakukan pembaziran dan berlebih-lebihan tanpa had batasan.

4 - Jika kita gemar bersedekah pada bulan Ramadan, maka janganlah pula kita menjadi kedekut ataupun bakhil pada Syawal.

“Rasulullah SAW mengajar umatnya agar jangan pernah melupakan saudara Islam lain yang sedang mengalami kesusahan dan kesempitan hidup.

“Tentunya sedekah buat mereka yang sangat memerlukan amat besar ertinya, apatah lagi pada musim sempena perayaan sebegini,” hurainya.

Menurutnya lagi, sudah tentu golongan yang susah atau serba kekurangan ini amat memerlukan bantuan bagi memenuhi berbagai hajat dan keperluan hidup mereka.

Cakna, prihatin kepada jiran

Khatib turut mengingatkan sempena budaya baik iaitu rumah terbuka yang diadakan, tuan rumah perlulah mempunyai rasa cakna dan prihatin dengan kawasan kejiranan yang didiami.

“Sekiranya keadaan tidak sesuai seperti jalan yang terlalu sempit dan kawasan parkir kereta yang sangat terhad, maka buatlah di tempat lain yang lebih sesuai.

“Janganlah mementingkan diri sehingga menyebabkan jiran tetangga berasa susah, terganggu dan tidak selesa,” nasihatnya.

Katanya lagi, tuan rumah juga janganlah melakukan perkara yang boleh mengganggu ketenangan dan ketenteraman jiran tetangga seperti memasang alat pengeluar bunyi yang terlalu kuat dan membiarkan sampah bersepah tanpa terurus.

BERTIMBANG RASA dan caknalah dengan keadaan sekeliling sebelum mengadakan rumah terbuka dibimbangi mengganggu ketenteraman jiran tetangga. Foto Pexels
BERTIMBANG RASA dan caknalah dengan keadaan sekeliling sebelum mengadakan rumah terbuka dibimbangi mengganggu ketenteraman jiran tetangga. Foto Pexels

“Ingatlah, Islam amat menitik beratkan supaya hak jiran tetangga ini dipelihara dengan baik berdasarkan hadis Rasulullah SAW:

"Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka janganlah dia menyakiti jiran tetangganya.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Para pengunjung dan tetamu pula turut dinasihatkan perlulah memahami kedudukan dan keadaan rumah yang dikunjungi.

“Amalan yang sangat baik ini janganlah dicemari dengan perkara-perkara yang boleh merosakkannya seperti meletakkan kenderaan sesuka hati, menghalang laluan, bercampur antara lelaki dan perempuan bukan mahram tanpa batasan serta duduk terlalu lama sehingga membuatkan tuan rumah berasa kurang selesa,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!