Sunat berbuka di rumah terbuka, anjuran berdoa jika teruskan puasa

DISUNATKAN berbuka puasa sunat ketika menghadiri rumah terbuka. Foto Canva
DISUNATKAN berbuka puasa sunat ketika menghadiri rumah terbuka. Foto Canva
A
A
A

“NAK puasa ke makan? Sempat ke habis puasa enam ni kalau berbuka dan pergi rumah terbuka? Mana yang lebih afdal?”

Begitulah antara persoalan yang sering bermain di fikiran kita umat Islam ketika berada dalam dilema sama ada mahu membatalkan puasa atau meneruskan nya ketika menghadiri jemputan rumah terbuka.

Ramai sudah maklum mengenai kewajipan untuk menghadiri jemputan dan kelebihan yang ada pada puasa sunat Syawal atau puasa enam ini.

Bagaimanapun, masih lagi berada dalam dilema mengenai tindakan sepatutnya yang perlu dilakukan apabila berhadapan dengan situasi tersebut.

Mengulas mengenai hal ini, pendakwah, Ustaz Muhammad Hasbullah Md Najib menjelaskan, berbuka puasa lebih afdal dalam keadaan tersebut.

USTAZ MUHAMMAD HASBULLAH
USTAZ MUHAMMAD HASBULLAH

“Disebut dalam kitab Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, ulama Mazhab Syafie dan Hambali memberitahu sunat untuk berbuka puasa sunat apabila dijemput untuk menghadiri sesebuah kenduri.

Artikel Berkaitan:

“Dihukum sunat untuk berbuka sekiranya ia memberi kesukaran kepada tuan rumah yang telah menyediakan makanan selain puasa sunat yang dilakukan itu dibenarkan untuk digantikan pada hari lain,” katanya ketika dihubungi Sinar Islam Plus.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Muslim Volunteer Malaysia berkata, sekiranya berlaku sebaliknya iaitu tidak membebankan tuan rumah apabila tidak memakan hidangan yang disediakan, maka afdal untuk seseorang itu meneruskan puasanya.

Menurutnya, dalam satu hadis yang diriwayatkan Abu Said Al-Khudri RA, beliau berkata: “Seorang sahabat telah menjemput ke jamuan makan. Selepas dihidangkan makanan, salah seorang sabahat lain berkata: ‘Sesungguhnya aku sedang berpuasa’.”

Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Saudara kamu telah menjemput dan bersusah payah untuk kamu. Berbukalah dan gantilah pada hari yang lain sekiranya kamu mahu.” (Hadis Riwayat At-Tabrani)

“Dalam masalah ini, bergantung kepada pilihan individu tersebut kerana dia lebih mengetahui situasi yang dilaluinya.

“Sebaiknya merancang dan susun jadual puasa sunat supaya kita dapat berpuasa dan meraikan jemputan kenduri rumah terbuka daripada kenalan kita,” katanya.

Cadangan rumah terbuka pada petang hingga malam

Sementara itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mencadangkan agar tuan rumah mengadakan rumah terbuka pada waktu petang hingga ke malam.

ANJURAN rumah terbuka pada waktu petang hingga malam seperti dicadangkan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan boleh meraikan semua pihak termasuk golongan yang berpuasa. Gambar hiasan/Foto Bernama
ANJURAN rumah terbuka pada waktu petang hingga malam seperti dicadangkan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan boleh meraikan semua pihak termasuk golongan yang berpuasa. Gambar hiasan/Foto Bernama

“Bagi sesiapa yang ingin menyediakan majlis jamuan pada bulan Syawal, sebaiknya dia mengadakannya pada waktu petang hingga ke malam.

“Ini membolehkan kesemua pihak (termasuk golongan yang berpuasa) meraikannya,” katanya.

Anjuran berdoa jika teruskan puasa

Terdahulu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, hukum berbuka puasa sunat dengan sengaja adalah makruh, namun tidak diwajibkan untuk menggantikannya.

Bagaimanapun jika bertembung dengan jemputan rumah terbuka, afdal untuk membatalkan puasanya lebih-lebih lagi jika tuan rumah merasa keberatan.

DIBOLEHKAN meneruskan puasa ketika hadir ke rumah terbuka jika tidak menyusahkan tuan rumah. Foto Pexels
DIBOLEHKAN meneruskan puasa ketika hadir ke rumah terbuka jika tidak menyusahkan tuan rumah. Foto Pexels

“Maka afdal membatalkan puasanya jika membebankan tuan rumah dengan tempahan yang berkemungkinan berlaku pembaziran dan sebagainya.

“Ini dapat menjaga perasaan dan menyuburkan silaturahim,” katanya.

Menurutnya lagi, jika tidak membebankan tuan rumah, boleh meneruskan puasa sunat tersebut dan Nabi Muhammad SAW mengajarkan supaya berdoa dengan keampunan dan keberkatan kepada tuan rumah sebagaimana hadis yang diriwayatkan Abu Hurairah RA. Nabi bersabda:

“Apabila dijemput seseorang daripada kamu, maka hendaklah ia memenuhi jemputan itu. Sekiranya dia berpuasa, hendaklah dia berdoa. Dan sekiranya ia tidak berpuasa, hedaklah ia makan.” (Hadis Riwayat Muslim)