Tinggal solat kerana jadual program padat

Soalan
Baru-baru ini terdapat program di sebuah universiti yang terlalu padat jadualnya sehingga peserta mendakwa tidak sempat menunaikan solat fardu. Apakah kesibukan program boleh dijadikan alasan untuk meninggalkan solat?
Jawapan
Hukum meninggalkan solat fardu dengan sengaja disebabkan menyertai program universiti yang padat atau menghadiri mesyuarat bukanlah keuzuran syarie yang diiktiraf oleh syarak.
Di dalam al-Quran, ALLAH SWT berfirman: “Maka kecelakaan besar bagi orang-orang yang mengerjakan solat. Iaitu mereka yang lalai daripada menyempurnakan solatnya.” (Surah al-Ma’un: 4 - 5)
Berdasarkan ayat ini, ALLAH SWT memberikan peringatan yang keras terhadap sikap mengabaikan solat.
Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dalam Al-Kafi #1531: Solat disebabkan waktu bekerja menjelaskan, kesibukan bekerja atau kebimbangan terlambat bekerja bukan alasan yang membolehkan sengaja meninggalkan solat sehingga habis waktunya.
Prinsip yang sama terpakai kepada program universiti dan aktiviti-aktiviti lain yang tidak mempunyai keuzuran syarie.
Sekiranya waktu program tersebut terhad, seseorang boleh menunaikan solat secara sendirian dengan bacaan yang ringkas dan memenuhi segala rukun serta syarat sah solat.
Apa yang penting, kewajipan solat tidak boleh diketepikan semata-mata untuk menyertai program.
Timbul persoalan lain, sekiranya sudah berniat untuk qada solat selepas program, apakah ia dibolehkan?
Jawapannya sama sekali tidak boleh kerana niat untuk qada solat pada kemudiannya seolah-olah dia memang sengaja untuk meninggalkan solat dalam waktunya.
Tindakan seperti ini tidak dibenarkan sekiranya tiada keuzuran syarie dan dihukumkan sebagai haram serta berdosa besar.
Ini kerana kewajipan menunaikan solat pada waktunya tidak gugur hanya dengan adanya perancangan untuk qada.
Qada merupakan kewajipan bagi solat yang telah luput, bukannya pilihan yang boleh dirancang sesuka hati bagi menggantikan solat tunai.
Dalam hal berkaitan program ini, penganjur sepatutnya mempunyai tanggungjawab untuk memastikan pelaksanaan program tidak mengabaikan kewajipan agama peserta.
Dalam merancang sesuatu program, waktu solat hendaklah diberikan perhatian, khususnya apabila program melibatkan ramai peserta, pergerakan berkumpulan dan jadual aktiviti yang panjang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

