US Coast Guard tawar kapal peronda kepada Maritim Malaysia - KDN

Saifuddin Nasution berucap pada Majlis Perjumpaan Menteri Dalam Negeri Bersama Warga Maritim Malaysia di Ibu Pejabat Maritim Malaysia pada Isnin. Foto Bernama
Saifuddin Nasution berucap pada Majlis Perjumpaan Menteri Dalam Negeri Bersama Warga Maritim Malaysia di Ibu Pejabat Maritim Malaysia pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Pengawal Pantai Amerika Syarikat (US Coast Guard) menawarkan dua kapal perondanya kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sebagai tanda erat kerjasama.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tawaran itu dibuat semasa beliau membuat lawatan ke beberapa agensi di Amerika Syarikat pada September tahun lalu, antaranya Pengawal Pantai Amerika Syarikat.

Katanya, jika Malaysia ada kesudian, mereka (Amerika Syarikat) ingin beri sumbangan aset kepada Malaysia sebagai tanda dekatnya kerjasama antaranya perkongsian maklumat, kepakaran dan pengalaman sempadan laut yang luas.

"Mereka lihat Malaysia sebagai negara yang ada elemen boleh dipelajari kerana luasnya sempadan laut kita iaitu 590,000 kilometer persegi, kompleksnya ancaman jenayah lautan seperti isu penyeludupan dan sebagainya.

"Kerana itu Malaysia banyak dilibatkan dalam pengalaman di negara luar, bukan sahaja Jepun, Turkiye, malah Amerika Syarikat," katanya dalam majlis perjumpaan beliau bersama warga Maritim Malaysia di sini pada Isnin.

Turut hadir Pemangku Ketua Pengarah Maritim, Datuk Saiful Lizan Ibrahim.

Tambah Saifuddin, Amerika Syarikat melangkah satu langkah ke depan iaitu menawarkan dua aset kapal peronda untuk Maritim Malaysia pertingkat keupayaan aset sekiranya bersetuju menerimanya.

Saifuddin Nasution (kanan) menyantuni anak-anak yatim pada Majlis Perjumpaan Menteri Dalam Negeri Bersama Warga Maritim Malaysia. Foto Bernama
Saifuddin Nasution (kanan) menyantuni anak-anak yatim pada Majlis Perjumpaan Menteri Dalam Negeri Bersama Warga Maritim Malaysia. Foto Bernama

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, pihak Maritim Malaysia juga telah diarahkan untuk melihat sendiri keupayaan aset terbabit.

"Pegawai terbabit akan kemukakan laporan sebelum memberi maklum balas untuk keputusan lanjut," katanya.

Dalam kes berlainan, Op Khas Pagar Laut yang memasuki fasa keempat selepas mula dilaksanakan pada 12 Mac sempena musim perayaan merekodkan 175 tangkapan.

"Maritim Malaysia berjaya merekodkan nilai rampasan berjumlah RM15 juta.

"Ini menunjukkan peri pentingnya biar pun Aidifitri, sempadan negara terus diawasi," ujarnya.

Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata, KDN meletakkan keperluan Maritim Malaysia sebagai keutamaan utama bagi penambahan keanggotaan dan perkara itu akan segera dibincangkan dengan Ketua Setiausaha KDN.

"Dukungan di pihak saya meletakkan Maritim Malaysia adalah keperluan yang wajar diberi keutamaan teratas.

"Ini kerana kompleksnya ancaman dan luasnya kawasan sekali gus komitmen kita untuk meningkatkan keupayaan aset melalui perolehan aset, itu antara keutamaan yang wajar," katanya

Mengulas mengenai perolehan aset empat unit helikopter membabitkan kos sebanyak RM600 juta, Saifuddin berkata, di peringkat KDN perolehan itu telah dimuktamadkan.

"Kemudian proses itu akan diserahkan kepada Kementerian Kewangan untuk keputusan akhir.

"Berikutnya kita akan buat lawatan ke syarikat yang berjaya untuk berbincang elemen kehendak, pengguna dan sebagainya," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!