Helikopter terhempas: Kotak hitam dihantar ke Itali

Saifuddin (tengah) beramah mesra dengan anak yatim Pertubuhan Warisan Suci di Putrajaya pada Isnin.
Saifuddin (tengah) beramah mesra dengan anak yatim Pertubuhan Warisan Suci di Putrajaya pada Isnin.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kotak hitam helikopter AW139 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang melakukan pendaratan cemas ketika melaksanakan latihan menyelamat di sekitar perairan Pulau Angsa, Kuala Selangor telah dihantar ke Itali untuk dianalisis.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, satu jawatankuasa telah ditubuhkan susulan insiden terbabit sebelum berjaya menemui kotak hitam itu pada 17 April.

Menurutnya, Maritim Malaysia telah buat keputusan agar kotak hitam itu dihantar terus ke Itali kerana pesawat itu adalah keluaran negara terbabit.

"Kita temui ada sedikit kesan kerosakan yang memerlukan kotak hitam dianalisis terus oleh syarikat pengeluar.

"Itu lebih selamat untuk ketahui makumat tepat tentang rakaman yang dirakam oleh kotak hitam kerana ia adalah komponen penting dalam siasatan kemalangan udara," katanya dalam majlis perjumpaan beliau bersama warga Maritim Malaysia di sini pada Isnin.

Turut hadir dalam majlis terbabit Pemangku Ketua Pengarah Maritim, Datuk Saiful Lizan Ibrahim.

Mengulas lanjut, beliau berkata, perkara itu akan mengambil tempoh masa dan dari semasa ke semasa pihak Maritim Malaysia akan dimaklumkan perkembangan oleh syarikat pengeluar terbabit.

Dalam kejadian pada 5 Mac lalu, helikopter yang diterbangkan oleh Leftenan Komander (M) Tengku Mohd Nizam Tengku Zakaria dan disertai Leftenan Komander (M) Mohamad Azrol Saidi bersama kru udara Pegawai Waran I (M) John Ibno serta perenang penyelamat Bintara (M) Muhamad Nurhayyat Hashim terpaksa melakukan pendaratan cemas di perairan Pulau Angsa.

Artikel Berkaitan:

Namun, insiden itu tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Mengulas mengenai seorang anggota Maritim Malaysia yang alami buta mata kiri selepas insiden berbalas tembakan dengan penjenayah di perairan Kunak, Sabah pada 7 April lalu, Saifuddin berkata, anggota terbabit masih cuti sakit untuk rawatan susulan.

Jelasnya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi komitmen nombor satu dari segi aspek kebajikan anggota terlibat.

"Kita masih tunggu laporan penuh pihak perubatan," katanya.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan dua anggota Maritim Malaysia cedera apabila penjenayah terdiri daripada tiga suspek bertindak melepaskan empat das tembakan ke arah bot Banggi 48 di perairan Kunak.

Dalam kejadian jam 8.40 pagi itu, Bintara Muda Maritim Zainal Abad Komel, 45, cedera di mata kiri manakala seorang lagi kru bot, Laskar Kanan Maritim Prayrie De Cuella Jimin, 35, cedera di kedua belah tangan ketika sedang bergelut berbalas tembakan dengan penjenayah tersebut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!