Kotak hitam helikopter AW139 ditemui selepas 44 hari pencarian

Usaha pencarian kotak hitam helikoter AW139 yang dilakukan sebelum ini.
Usaha pencarian kotak hitam helikoter AW139 yang dilakukan sebelum ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Kotak hitam helikopter Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) AW139 (M72-01) yang melakukan pendaratan cemas ketika

melaksanakan latihan menyelamat pada 5 Mac lalu di sekitar perairan Pulau Angsa, Kuala Selangor ditemui pada Rabu.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata, kotak hitam itu ditemui pasukan penyelam penyelamat Maritim Malaysia selepas misi pencarian memasuki hari ke-44.

Menurut beliau, ekor pesawat helikopter terbabit dikesan di kedudukan 1.9 batu nautika selatan Pulau Angsa iaitu kira-kira 760 meter dari lokasi nahas berlaku.

"Setelah berjaya dinaikkan dari dasar laut, kotak hitam itu dibawa ke makmal untuk dianalisa data rakaman bagi mengetahui punca sebenar insiden yang berlaku," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sehubungan itu, jelas beliau, Maritim Malaysia menjangkakan keputusan data akan diperoleh dalam masa terdekat berikutan keadaan kotak hitam tidak mengalami sebarang kerosakan teruk.

Terdahulu, katanya, operasi pencarian kotak hitam berkenaan melibatkan 21 penyelam berhadapan dengan kesukaran akibat arus deras di dasar laut, selain jarak penglihatan di dalam air yang terhad akibat dasar laut berlumpur.

Tambah beliau, selain penyelam penyelamat Maritim Malaysia, misi pencarian kotak hitam turut disertai kru sonar Pusat Hidrografi Nasional (PHN) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB), pihak penyedia perkhidmatan pesawat Maritim Malaysia iaitu Galaxy (M) Sdn Bhd, Bahagian Operasi Udara Maritim Malaysia serta kru kapal dan bot Maritim Negeri Selangor.

Artikel Berkaitan:

Fasa pertama pencarian kotak hitam pesawat berkenaan telah dilaksanakan bermula 6 Mac hingga 24 Mac lalu dengan lokasi tumpuan adalah di sekitar satu kilometer radius di kawasan helikopter terbabit melakukan pendaratan cemas.

Dalam kejadian jam 9.55 pagi itu, helikopter dengan pendaftaran M72-01 dinaiki empat anggota dan pegawai Maritim Malaysia yang melakukan latihan menyelamat, bagaimanapun, kesemua mereka dilaporkan selamat.

Helikopter yang mendarat cemas itu diterbangkan oleh Leftenan Komander (M) Tengku Mohd Nizam Tengku Zakaria dan Leftenan Komander (M) Mohamad Azrol Saidi.

Turut bersama dalam helikopter terbabit adalah seorang kru udara Pegawai Waran I (M) John Ibno dan seorang Perenang Penyelamat, Bintara (M) Muhamad Nurhayyat Hashim.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!