[VIDEO] Jerat mangsa dengan perbualan mesra sebelum melabur

A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 19 individu termasuk seorang remaja perempuan diberkas dalam serbuan di tiga rumah mewah dipercayai beroperasi sebagai 'calling centre' di sekitar bandar raya ini, Khamis lalu.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, hasil risikan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis (IPD) Iskandar Puteri dan Johor Bahru Selatan membawa kepada serbuan yang dibuat antara jam 10.55 pagi sehingga 5 petang.

Menurutnya, rumah mewah 'gated and guarded' dijadikan sebagai pusat panggilan palsu yang menawarkan pelaburan tidak wujud dengan menyasarkan mangsa rakyat tempatan dan luar negara.

M Kumar (dua dari kanan) menunjukkan skrip yang digunakan sindiket bagi menarik mangsa melabur dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada Isnin.
M Kumar (dua dari kanan) menunjukkan skrip yang digunakan sindiket bagi menarik mangsa melabur dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada Isnin.

"Polis menahan lapan lelaki dan tujuh wanita warga tempatan bersama empat lelaki warga asing berusia antara 16 hingga 38 tahun. Remaja berusia 16 tahun itu tidak bersekolah.

"Dalam operasi berkenaan, polis turut merampas 73 telefon bimbit, 40 keping simkad, 16 helai kertas yang mengandungi skrip kerja, 14 buah komputer riba, sebuah kenderaan, satu unit modem WiFi dan anak kunci rumah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Antara rampasan hasil tangkapan 19 ahli sindiket pelaburan tidak wujud dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada Isnin.
Antara rampasan hasil tangkapan 19 ahli sindiket pelaburan tidak wujud dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada Isnin.

Tambah Kumar, sindiket yang beroperasi sejak dua bulan lalu menggunakan skrip perbualan mesra bagi menarik pelanggan untuk melabur selepas aktiviti promosi pelaburan dibuat melalui telegram, Tik Tok dan WeChat.

"Skrip kerja yang ditulis dalam bahasa Inggeris dan Mandarin. Mangsa akan diajak berbual terlebih dahulu, bertanya khabar dalam keadaan santai sebelum bercerita tentang pelaburan.

"Selain itu, sindiket ini turut menawarkan gaji kepada operator panggilan sebanyak RM2,500 manakala penyelia RM7,000 sebulan selain diberikan makanan percuma di rumah sewa," katanya.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atau Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959.

M Kumar menunjukkan suspek yang ditahan hasil serbuan di tiga rumah mewah dijadikan 'calling centre' pelaburan tidak wujud.
M Kumar menunjukkan suspek yang ditahan hasil serbuan di tiga rumah mewah dijadikan 'calling centre' pelaburan tidak wujud.

"Tempoh tahanan reman kesemua suspek tamat pada Isnin dan akan dilanjutkan serta nilai pelaburan atau kerugian mangsa juga masih dalam siasatan.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpengaruh atau memberi maklum balas apabila menerima panggilan atau pesanan meragukan kerana ia berisiko," katanya

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!