Che'gu Bard mengaku tidak bersalah dua pertuduhan

Che'gu Bard ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin, bagi menghadapi dua pertuduhan kes memfitnah dan menghasut, baru-baru ini.
Che'gu Bard ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin, bagi menghadapi dua pertuduhan kes memfitnah dan menghasut, baru-baru ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Ahli Jawatankuasa Biro Penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Che'gu Bard didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, atas dua pertuduhan memfitnah dan menghasut, yang mana ia akan merosakkan nama Yang di-Pertuan Agong, pada Januari dan awal bulan ini.

Badrul Hisham, 45, mengaku tidak bersalah, selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Siti Aminah Ghazali.

"Saya faham, tidak mengaku salah," kata Badrul Hisham yang memakai baju Melayu berwarna hijau dengan bersamping kuning.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa membuat penerbitan menghasut di Facebook, atas nama 'Chegubard', di Taman Bukit Cheras, pada jam 12.15 tengah hari, 6 April lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4 (1) (c) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi kes kedua, Pengarah Operasi Jabatan Pilihanraya Bersatu Johor itu, dituduh mengeluarkan kenyataan fitnah, yang mana dia mempunyai sebab mempercayai bahawa kenyataan itu akan merosakkan nama baik Agong, di Pejabat Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Jalan Sultan Abdul Halim, di sini, pada jam 6 petang, 22 Januari lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Syed Faisal Syed Amir mencadangkan, tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin, kerana kes berkenaan telah menyentuh nama baik Agong.

Artikel Berkaitan:

"Saya mohon mahkamah mengeluarkan perintah larangan agar tertuduh dan pihak pendakwaan tidak mengeluarkan komen atau kenyataan di media sosial hingga kes selesai.

"Perintah ini akan memastikan semua pihak tidak mengacau ganggu kes sehingga menimbulkan provokasi yang menjerumuskan kepada kes lain kelak," katanya.

Bagaimanapun, peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Badrul Hisham memohon, kadar ikat jamin itu dikurangkan.

"Anak guam saya telah berkahwin dan mempunyai empat anak yang mana tiga daripadanya masih lagi bersekolah sementara bongsu, merupakan orang kurang upaya 'autisme'.

"Pembelaan membantah perintah larangan bersuara kerana ia tidak berperlembagaan kerana rakyat perlu diberi kebebasan bersuara secara terbuka, dengan berlandaskan lunas undang-undang," katanya yang menambah Badrul Hisham telah ditahan reman bermula sabtu lalu.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, hakim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah menolak perintah larangan bersuara yang dipohon pendakwaan dan menetapkan 27 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Pada Ahad, Rafique mengesahkan anak guamnya itu berdepan dua pertuduhan berhubung kenyataan mengaitkan Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr KK Chai, yang menghadap Sultan Ibrahim.

Menurut hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim, KK Chai memohon ampun kepada Sultan Ibrahim serta seluruh umat Islam berhubung isu penjualan stoking yang tertera kalimah ALLAH di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!