Kes denggi di Kedah meningkat

Mansor meninjau kawasan perumahan dekat Taman Sejati Indah Sungai Petani pada Ahad.
Mansor meninjau kawasan perumahan dekat Taman Sejati Indah Sungai Petani pada Ahad.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Kes denggi dilaporkan meningkat di seluruh negeri Kedah iaitu sebanyak 1,550 kes berbanding 1,301 kes bagi tempoh yang sama tahun 2023 pada Minggu Epid ke 16/2024.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Kedah, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, angka itu menunjukkan peningkatan sebanyak 249 kes bersamaan 19.1 peratus.

Menurutnya, trend kes kematian denggi juga meningkat di mana mencatatkan sebanyak 4 kes berbanding tiada kes kematian dalam tempoh yang sama pada tahun lalu.

"Susulan peningkatan kes, trend peningkatan wabak juga berlaku di mana sehingga Minggu Epid ke 16/2024, 136 wabak denggi direkodkan di negeri Kedah berbanding 121 wabak denggi dalam tempoh yang sama pada tahun 2023 iaitu peningkatan sebanyak 12.4 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Lokaliti Hotspot di Taman Sejati Indah, di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, katanya, sehingga Minggu Epid 16/2024, sebanyak 82 kes denggi telah direkodkan di Taman Sejati Indah di mana 68 kes bersamaan 82.9 peratus adalah kes wabak dan bakinya 14 kes sporadik.

"Antara isu utama yang menjejaskan kawalan wabak hotspot adalah rumah yang tidak berpenghuni atau lama ditinggalkan, tidak diselenggara dengan baik sehingga berisiko menjadi pembiakan Aedes dan kurang kerjasama penduduk sewaktu aktiviti kawalan dari rumah ke rumah dijalankan anggota kesihatan," katanya.

Jelasnya, bermula 2024, Jabatan Kesihatan Kedah dengan kerjasama kerajaan negeri Kedah memperkenalkan Kod QR Pemeriksaan Tempat Pembiakan Aedes Kendiri untuk menggalakkan penduduk memeriksa tempat pembiakan Aedes di kediaman sendiri.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!