7,254 kes denggi, 12 kematian direkodkan di Pulau Pinang

Daerah Seberang Perai Tengah merekodkan jumlah kes demam denggi paling tinggi iaitu 3,468 kes dengan lima kematian dicatatkan. - Foto hiasan
Daerah Seberang Perai Tengah merekodkan jumlah kes demam denggi paling tinggi iaitu 3,468 kes dengan lima kematian dicatatkan. - Foto hiasan
A
A
A

GEORGE TOWN - Sebanyak 122 kes demam denggi dilaporkan di seluruh Pulau Pinang pada Minggu Epidemiologi ke-51 (ME51) bagi tempoh 17 hingga 23 Disember dengan satu kematian dilaporkan, menurut Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP).

JKNPP dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sejak awal Januari hingga 23 Disember adalah sebanyak 7,254 kes dengan 12 kematian dicatatkan.

"Daerah Seberang Perai Tengah merekodkan jumlah kes demam denggi paling tinggi iaitu 3,468 kes dengan lima kematian dicatatkan diikuti Timur Laut sebanyak 1,285 kes dan dua kematian, manakala Seberang Perai Selatan pula 1,282 kes serta empat kematian.

"Seterusnya, daerah Barat Daya dengan 748 kes demam denggi dan satu kematian, manakala yang terakhir ialah Seberang Perai Utara sebanyak 471 kes, namun tiada kematian direkodkan," menurut kenyataan itu.

JKNPP memaklumkan, terdapat 33 bilangan wabak semasa di lima daerah di negeri itu bagi ME51 dengan kumulatif wabak sejumlah 765.

Menurut JKNPP, terdapat beberapa lokaliti yang menjadi hotspot atau lokasi panas kes demam denggi di negeri ini iaitu Permatang Pauh (Jalan Arowana), Kubang Semang (Mukim 20) dan Taman Sungai Rambai (B), manakala lokaliti tidak terkawal adalah di Taman Sejahtera (Zon A) dan lain-lain lokaliti terkawal.

Mengenai survelan chikungunya, tiada kes direkodkan pada ME51 dengan jumlah kumulatif kes sebanyak 38, namun JKNPP menasihati orang ramai supaya sentiasa memastikan tiada takungan air di rumah yang menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes selain memastikan persekitaran kediaman bersih bagi mencegah kes demam denggi. - Bernama

Artikel Berkaitan: