Projek bawang Malaysia berjaya hasil 2.3 tan tuaian pertama

Arthur Joseph (kiri) bersama Nor Sam melihat prosea pengeringan bawang yang siap dituai menerusi projek perintis tanaman bawang di Kampung Ladang Bikam, Sungkai pada Rabu.
Arthur Joseph (kiri) bersama Nor Sam melihat prosea pengeringan bawang yang siap dituai menerusi projek perintis tanaman bawang di Kampung Ladang Bikam, Sungkai pada Rabu.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Projek perintis tanaman bawang seluas satu hektar di Kampung Ladang Bikam, Sungkai dekat sini berjaya memberikan hasil pengeluaran 2.3 tan tuaian pertama pada Rabu.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, tuaian yang dimulakan pada Januari itu menggunakan varieti bawang merah BAW-1 melibatkan kawasan fasa 1 seluas 0.6 hektar.

Menurutnya, perkembangan itu menandakan kejayaan projek perintis penghasilan bawang tempatan yang dilaksanakan kerajaan.

"Hari ini kita telah melakarkan sejarah buat negara dengan pengeluaran bawang yang 100 peratus hasil dan milik negara Malaysia.

"Benih itu dikeluarkan dan dihasilkan oleh MARDI (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia) dan ditanam oleh Jabatan Pertanian. Hari ini kita nampak projek ini benar-benar berjaya," katanya sempena majlis Tuaian Mega Projek Rintis Tanaman Bawang Kuala Bikam di sini pada Rabu.

Hadir sama, Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Nor Sam Alwi dan Pengarah Pertanian Perak, Norsiyenti Othman.

Arthur Joseph menunjukkan hasil tuaian pertama projek perintis tanaman bawang di Kampung Ladang Bikam, Sungkai pada Rabu.
Arthur Joseph menunjukkan hasil tuaian pertama projek perintis tanaman bawang di Kampung Ladang Bikam, Sungkai pada Rabu.

Arthur Joseph berkata, kejayaan tuaian pertama itu membuka peluang untuk menjadikan Perak sebagai hub pengeluaran bawang dengan menambah keluasan tanaman sedia ada.

Artikel Berkaitan:

Katanya, selain Sungkai, kementerian juga telah mengenal pasti kawasan baharu di daerah Kinta yang boleh dijadikan lokasi strategik penanaman bawang.

"Pagi tadi saya telah berjumpa dengan Menteri Besar Perak dan beliau sangat gembira apabila negeri ini telah mendahului negeri-negeri lain dalam projek tanaman bawang tempatan di Malaysia.

"Bagi penanaman di Sungkai, kita harap potensi hasil lebih besar sehingga 4 tan diperolehi menerusi tanaman fasa 2 dan 3 yang menggunakan varieti bawang merah BAW-2," katanya.

Selain Perak, beliau berkata, kementerian telah mengenal pasti lima lagi negeri iaitu Selangor, Perlis, Pulau Pinang, Pahang dan Kelantan bagi melaksanakan projek mega tanaman bawang tempatan.

Ujarnya, langkah itu selari dengan sasaran kementerian untuk mencapai kadar sara diri bawang tempatan sebanyak 30 peratus menjelang 2030.

"Untuk mencapai itu, kita memerlukan tanaman seluas lebih 1,400 hektar pada tahun 2030," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!