Tahun baru dan pemusnah harapan

-Foto 123rf
-Foto 123rf
A
A
A

MAKA, bermulalah langkah ke tahun 2020 yang selama ini dinantikan sebagai era kemajuan dan pemodenan Malaysia hasil perencanaan Wawasan 2020 sejak 28 tahun lalu. Namun, ia dimulai dengan beberapa insiden yang langsung tidak menepati perencanaan.

Bermulanya pemerintahan Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan Persekutuan, ia dihiasi polemik berlatar agama dan etnik.

Jelas, polarisasi etnik dan agama seakan-akan membesar menggambarkan hasrat pertama Wawasan 2020 dengan wujudnya sebuah bangsa Malaysia yang bersatu padu hanya tinggal slogan.

Sekolah vernakular dan persendirian terus ditatang hingga Dong Zong kelihatan sebagai pembuat polisi. Keangkuhan Dong Zong, Dong Jiao Zong dan kenaifan Presiden Parti Gerakan menolak belajar jawi daripada beberapa patah perkataan yang umum dan penting dalam membina warga dan menolak pengukuhan bahasa kebangsaan sebenarnya memaparkan sikap prejudis dan rasa tidak selamat ultrakiasu.

Lebih malang lagi, ada juga insan dan ahli Parlimen yang rasa tidak selamat hingga mempersoal belajar jawi dan mempromosi kaligrafi Cina.

Ia sekali lagi menggambarkan hasrat Wawasan 2020 gagal melahirkan warga secara psikologinya selamat, bebas dan maju.

Paradoks itu perlu diperhalusi kerana selagi ia wujud, berkemungkinan Wawasan Kemakmuran Bersama juga di ambang kegagalan lebih awal lagi. Hipotesis ini mudah kerana selagi soal dasar dan pengukuhan warga tidak diberi perhatian dan diselesaikan, maka langkah ke hadapan pasti sukar.

Polemik-polemik dasar itu akhirnya mengorbankan seorang menteri, yang berkelayakan dan berpengetahuan dalam tadbir urus mampan.

Artikel Berkaitan:

Bertindak memulangkan jawatan menteri kepada Perdana Menteri bukan sesuatu yang biasa di Malaysia tetapi ia merupakan sesuatu yang perlu dibuat, sebenarnya memberi naratif bahawa ‘orang lama, gaya lama’ masih menjadi faktor penentu.

Perangai lama golongan cauvanis-kapitalis-oportunis itu adalah punca mengapa hasrat mewujudkan masyarakat yang bertoleransi, liberal dan berdemokrasi matang gagal diterapkan.

Lihat sahaja perangai ahli Dewan Undangan Negeri dan terbaru, seorang ahli Parlimen. Adakah itu kualiti pemimpin yang dikehendaki?

Bukannya kawasan yang diwakili itu di luar bandar! Ia sekali gus mencabar kefahaman bahawa orang bandar itu bertamadun dan toleran.

Jika itu kualiti yang ditunjukkan, maka tidak perlu dinafikan bahawa hasrat melahirkan masyarakat yang bermoral dan beretika sangat sukar diterjemahkan. Begitu juga ada ahli Parlimen yang cuba menangguk di air keruh dengan ketiadaan menteri pendidikan.

Beliau gagal memahami fungsi beliau sendiri, atau beliau ingin menjadi Menteri Pendidikan? Atau mereka berdua mempunyai agenda tersendiri? Maklumlah, sebelum berhijrah ke Wangsa Maju, Klang pernah mewakilkan beliau.

Sekiranya diamati semula, semua perkara yang berlaku ini sebenarnya merupakan kegagalan mengurus masyarakat yang pelbagai.

Sistem politik yang terperosok jauh dalam kerangka etnik gagal memberi nafas kepada keperluan pemodenan.

Ia ditambah dengan sikap melebihkan kepentingan kendiri golongan cauvanis-kapitalis-oportunis berpaksi material semata-mata,serta wujudnya kumpulan yang sesat jati diri kebangsaan, tanpa sedar menjadi agen penghalang perpaduan.

Maka, pada tahun baru ini, lihatlah semula pada diri, soallah pada diri ke mana mahu dibawa negara ini dan tinggalkanlah perangai lama. Jangan menjadi pemusnah harapan.