Cubaan bawa dadah guna kapal terbang gagal

Sasikala (tengah) menunjukkan antara dadah yang dirampas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan serbuan sebuah unit kondominium di Seri Kembangan pada Isnin.
Sasikala (tengah) menunjukkan antara dadah yang dirampas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan serbuan sebuah unit kondominium di Seri Kembangan pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan nekad dua buruh binaan termasuk seorang lelaki warga Indonesia menyembunyikan dadah dalam bagasi dan beg sandang membongkar kegiatan penyeludupan menerusi tangkapan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan serbuan sebuah unit kondominium di Seri Kembangan pada Isnin.

Keseluruhan dadah seberat 22.1 kilogram (kg) bernilai RM1.76 juta dipercayai untuk dijual di Sarawak.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi berkata, kedua-dua suspek diberkas kira-kira jam 4.11 pagi menerusi tangkapan yang dijalankan Polis Bantuan KLIA bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA.

"Pemeriksaan mulanya dilakukan menerusi mesin pengimbas mendapati terdapat kandungan mencurigakan dalam bagasi dan beg sandang.

"Semakan lanjut kemudiannya menemukan tujuh kilogram (kg) methamphetamine, 5 kg pil eramin 5 dan 0.06 kg pil ectasy yang dibungkus serta dibalut beberapa kali menggunakan plastik hitam," katanya.

Dadah yang dirampas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) disembunyikan dalam sebuah bagasi dan beg sandang.
Dadah yang dirampas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) disembunyikan dalam sebuah bagasi dan beg sandang.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar di Mess Pegawai Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Rabu.

Katanya, susulan tangkapan itu, polis kemudiannya menjalankan serbuan di sebuah unit kondominium di Seri Kembangan, Selangor.

Artikel Berkaitan:

"Serbuan kemudiannya menemukan 9 kg eramin 5 dan 169.6 kg ketika pemeriksaan dijalankan.

"Siasatan mendapati unit kondominium ini menjadi lokasi untuk menyimpan serta membungkus dadah," katanya.

Menurutnya, aktiviti menyeludup dadah menggunakan penerbangan ini telah dilakukan beberapa kali sebelum ini.

"Polis masih menyiasat sumber dadah ini diperolehi serta penglibatan individu lain dalam kegiatan ini.

"Selain itu, kegiatan penyeludupan ini didapati dilakukan pada awal pagi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa," katanya.

Sasikala Devi berkata, kedua-dua suspek yang diberkas berumur 29 dan 44 tahun.

"Semakan mendapati suspek tempatan memiliki empat rekod lampau bersabit kesalahan dadah.

"Hasil saringan mendapati dua suspek positif amphetamine dan methamphetamine," katanya.

Tambahnya, tindakan turut diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakkan Harta) 1988 bernilai RM31,077.

"Turut dirampas melibatkan lima barangan kemas bernilai RM25,600, dua utas jam tangan bernilai RM5,377 dan wang tunai berjumlah RM100.

"Kedua-dua suspek kini direman tujuh hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!