China ‘kantoi’ dalam audio Najib

A
A
A

KONTROVERSI ‘China’ dalam isu 1MDB seolah-olah dibongkar secara tidak langsung dalam pendedahan siri audio rakaman perbualan telefon melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan beberapa individu di dalam dan luar negara oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya.

Dalam rakaman bertarikh 27 Julai 2016 jam 12.46 tengah malam iaitu rakaman Datin Seri Rosmah Mansor menelefon Datuk Seri Najib itu terdengar dialog berikut:

Najib: Saya boleh cadangkan kepada Amhari, jemput dia ke sini.

Rosmah: Kemudian kita beritahu Putera Mahkota, Khaldoon ada di sini bercakap dengan kami, untuk selesaikan semuanya sekali gus. Kita dah bazirkan satu minggu dah.

Najib: Ya, ya. Kita boleh jemput dia ke sini. Tak bazir, banyak benda dah bergerak dah. Mereka ni, dia nak tengok ada pergerakan di belah sana, belah China. Belah China sudah bergerak, tahu?

Rosmah: Itulah sebabnya, darling, tak banyak benda boleh kita cakapkan di telefon.

Dialog ini selari dengan pendedahan bekas pegawai khas Datuk Seri Najib iaitu Datuk Amhari Efendi Nazaruddin tentang peranan China dalam isu 1MDB di mahkamah tahun lalu. Sebelum itu, dua wartawan Wall Street Journal (WSJ) – Tom Wright dan Bradley Hope – menerbitkan laporan bertajuk WSJ Investigation: China Offered to Bail Out Troubled Malaysian Fund in Return for Deals bertarikh 7 Januari 2019.Laporan itu mendakwa Najib meminta Jho Low untuk berunding dengan China bagi ‘menyelesaikan krisis’ yang melibatkan hutang 1MDB.

Dalam mesyuarat pada 29 Jun 2016 pula, seorang pegawai China iaitu Sun Lijun – ketua pasukan keselamatan domestik China – berjanji untuk ‘memanfaatkan pengaruh China ke atas beberapa negara lain’ bagi menghentikan siasatan 1MDB.

Artikel Berkaitan:

Sun Lijun juga ‘memberi jaminan’ kepada Najib bahawa China melakukan pengawasan ke atas pejabat WSJ di Hong Kong sebagai ‘memenuhi permintaan Malaysia’. Langkah perisikan ini diambil bagi mengetahui dari mana dan siapa yang memberi maklumat kepada WSJ tentang skandal 1MDB.

Sebagai balasan, dua projek gergasi ditawarkan kepada China – Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan projek Saluran Paip Trans-Sabah (TSGP). Laporan WSJ ini juga menyebut nama pegawai China yang terlibat iaitu Xiao Yaqing, Pengerusi Suruhanjaya Penyeliaan dan Pentadbiran Aset milik China.

Malah, Xiao Yaqing juga ‘membatalkan kesemua temu janji penting di Beijing’ untuk hadir ke mesyuarat dengan Jho Low ini kerana ia ‘diluluskan oleh Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri Li Keqiang’ sendiri.

Pendedahan WSJ ini kemudiannya diakui secara tidak langsung Datuk Amhari yang terlibat dalam mesyuarat bertarikh 28 Jun 2016 di China. Malah, beliau mengesahkan bahawa lawatannya ke China pada 2016 hanya diketahui oleh Jho Low dan Najib.

Namun isu penting yang masih perlu dijelaskan kepada rakyat Malaysia ialah siapa yang merakam kesemua perbualan tersebut? Hal ini demikian kerana SPRM mengatakan bahawa siri rakaman telefon itu dihantar oleh ‘pihak tanpa nama’ pada awal bulan ini. Lebih penting lagi, kenapa hanya perbualan didedahkan itu yang dirakam?

Kenapa tiada audio yang melibatkan dua aktor penting dalam isu 1MDB iaitu Jho Low dan China? Kenapa pihak tersebut hanya mendedahkan perbualan yang melibatkan Putera Mahkota UAE, Mohammed Zayed Al Nahyan dan tidak China? Apa yang pasti, buat masa ini China telah ‘kantoi’ jika rakaman audio yang didedahkan SPRM itu adalah benar.

* Abdul Muein Abadi ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)