Konflik Iran-Israel: Mindef sedia bantu bawa pulang rakyat Malaysia

Mohamed Khaled Nordin
Mohamed Khaled Nordin
A
A
A

KUALA KUBU BAHARU - Kementerian Pertahanan (Mindef) bersiap sedia membantu Kementerian Luar sekiranya terdapat keperluan untuk membawa pulang rakyat Malaysia di Iran susulan konflik antara negara itu dan rejim Zionis Israel semakin membimbangkan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, bagaimanapun, keputusan berkenaan tertakluk kepada Wisma Putra selepas menilai situasi terkini di negara terbabit.

Menurut beliau, kerajaan sudah pasti akan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan rakyat Malaysia yang berada di mana sahaja, dalam keadaan selamat dan terhindar daripada sebarang konflik peperangan.

"Setakat ini tiada (peperangan di Iran), tidak lebih daripada serangan dron tempoh hari .... Sehubungan dengan itu, kita (Mindef) bergantung kepada Wisma Putra, mereka akan tahu semua (perkembangan situasi di Iran).

"Tak bermakna Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disuruh pergi ke sana (Iran) tapi sekiranya perlu, kita harus kaji dahulu logistik dan laluan yang boleh kita masuk dan tidak boleh masuk ... sekiranya ini berlaku, barisan hadapan ialah Kementerian Luar dan selepas itu, barulah beritahu kita (Mindef) ... peranan yang kita boleh mainkan, kerana sebagai tentera tidak boleh terus masuk ke negara orang," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Rumah Keluarga Angkatan Tentera di Taman Seruling di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, sebelum keputusan membawa pulang rakyat Malaysia dibuat, maklumat mengenai situasi di Iran perlu dikaji dengan teliti sama ada ia sahih bahawa keadaan di negara itu semakin teruk atau sebaliknya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, kerajaan bersedia membawa pulang warga Malaysia di Iran jika perkembangan konflik antara negara itu dan rejim Zionis semakin membimbangkan.

Artikel Berkaitan:

Jumaat lepas, Israel melancarkan serangan terhadap Iran sebagai tindak balas atas serangan Tehran pada 14 April.

Tel Aviv sebelum ini memberi amaran akan menyerang balas selepas Iran melancarkan 300 dron dan peluru berpandu ke arah Israel, namun kebanyakannya telah dipintas.

Serangan Teheran itu bagi membalas tindakan Israel mengebom konsulat Iran di Damsyik awal bulan ini. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28