Menteri Luar Iran bincang penyelesaian krisis Gaza dengan PBB

Abdollahian Foto AFP
Abdollahian Foto AFP
A
A
A

NEW YORK - Menteri Luar Iran Hossein Amirabdollahian membincangkan konflik berterusan di Gaza dan meneroka penyelesaian yang berpotensi untuk krisis itu dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres di New York.

Perbincangan itu berlangsung berhampiran Perbahasan Suku Tahun Majlis Keselamatan PBB mengenai Asia Barat termasuk keadaan di Palestin, lapor Agensi Berita Republik Islam Iran (IRNA).

Amirabdollahian menekankan penyelesaian krisis di Gaza merupakan tema utama semasa libat urus beliau dengan pelbagai tokoh antarabangsa termasuk Presiden Majlis Keselamatan PBB dan pemimpin daripada beberapa institusi sejagat.

Beliau mengetengahkan tumpuan ke atas perbincangan ini untuk mencari resolusi berkesan kepada konflik berkenaan.

Dalam perbincangannya dengan pegawai PBB, menteri itu menegaskan pendirian Iran bahawa meningkatkan lagi konflik ini tidak memanfaatkan pihak terlibat.

Beliau berkata, pendekatan politik diperlukan untuk menyelesaikan isu berkenaan, termasuk menamatkan persengketaan dan menangani tindakan rejim Israel di Gaza.

Beliau mencadangkan Setiausaha Agung PBB untuk memikirkan strategi komprehensif politik yang meliputi isu utama seperti pertukaran tawanan, pengunduran tentera dari Gaza dan meningkatkan penghantaran bantuan kemanusiaan di kawasan itu.

Amirabdollahian juga mengadakan perbincangan tentang respons ketenteraan Iran terhadap serangan Israel ke atas konsulatnya di Syria semasa perbahasan Majlis Keselamatan dan mesyuarat di luar perbahasan itu.

Artikel Berkaitan:

Beliau menzahirkan pendirian Iran terhadap tindak balas itu dan mengingatkan mengenai peningkatan ketegangan oleh Israel. - Bernama-IRNA

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!