Bicara kes hasutan ADUN Kijal ditangguhkan ke 11 Julai

Razali Idris
Razali Idris
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbicaraan kes Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Senator Datuk Razali Idris yang didakwa menyebut perkataan menghasut dengan menyifatkan keputusan institusi kehakiman dikawal oleh kerajaan, yang dijadualkan hari ini ditangguhkan ke 11 Julai oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Hakim Siti Aminah Ghazali melapangkan tarikh perbicaraan berkenaan selepas peguam Hasshahari Johari Mawi yang mewakili Razali memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pembelaan telah mengemukakan surat bertarikh 3 April lepas untuk memohon penangguhan perbicaraan kes terbabit.

"Pihak kami memohon untuk mendapatkan tarikh-tarikh perbicaraan baharu iaitu pada Julai," kata peguam itu. Kehadiran Razali dikecualikan pada prosiding hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datin Kalmizah Salleh mengesahkan perkara berkenaan.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh perbicaraan baharu pada 11, 12, 15 dan 16 Julai ini.

Menerusi surat dikemukakan peguam mewakili Razali kepada mahkamah yang diperoleh media, pihaknya memohon perbicaraan pada hari ini hingga Jumaat ditangguhkan berikutan Razali terlibat dengan Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Kelima Belas yang diadakan pada 22 hingga 25 April.

Menurut peguam, Razali juga terlibat dalam sambutan Hari Keputeraan Sultan Terengganu yang bakal diraikan selama sebulan bermula 26 April hingga 26 Mei ini dan pelbagai acara serta majlis rasmi telah diatur bersempena dengan sambutan itu yang penglibatannya adalah diwajibkan.

Pada 24 November tahun lepas, Razali yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebut perkataan menghasut itu di Padang Astaka Chukai, Kemaman antara 9.30 malam hingga 11.30 malam pada 10 November 2023.

Artikel Berkaitan:

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1) akta sama yang membawa hukuman denda hingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!