50 pelajar SMK Batu Kikir (Model Khas) diserang histeria

Shamahulkahar (dua dari kanan) ketika meninjau keadaan di lokasi pada Ahad. - Foto Parlimen Jempol
Shamahulkahar (dua dari kanan) ketika meninjau keadaan di lokasi pada Ahad. - Foto Parlimen Jempol
A
A
A

JEMPOL - Seramai 165 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Kikir (Model Khas) di sini yang tinggal di asrama dibenarkan pulang selama seminggu berikutan berlaku kes histeria sejak Sabtu.

Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli berkata, beliau dimaklumkan mengenai kejadian tersebut kira-kira jam 10 malam sebelum bergegas ke lokasi.

"Pelajar yang tinggal di asrama ada 165 orang, bagaimanapun, setakat malam tadi 50 pelajar membabitkan 19 pelajar lelaki dan 31 pelajar perempuan berusia antara 13 hingga 17 tahun mengalami histeria.

"Kejadian ini dipercayai berlaku hanya pada waktu malam, bermula Sabtu maghrib sebelum berlarutan pada malam tadi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Shamshulkahar (berdiri, kanan) berkesempatan bertanyakan mengenai situasi di lokasi. - Foto Parlimen Jempol
Shamshulkahar (berdiri, kanan) berkesempatan bertanyakan mengenai situasi di lokasi. - Foto Parlimen Jempol

Ujarnya, pihak sekolah telah memaklumkan kepada ibu bapa dan penjaga supaya membawa pulang anak masing-masing.

Jelas beliau, pembelajaran di sekolah itu berjalan seperti biasa, hanya pelajar asrama dibenarkan pulang untuk sementara waktu sehingga keadaan kembali reda.

"Bagi ibu bapa dan penjaga yang tidak berkesempatan mengambil anak-anak pada malam tadi, pelajar terlibat ditempatkan di dewan dan rumah warden kerana kita nak kosongkan asrama.

Artikel Berkaitan:

"Kita akan lakukan rawatan pemulihan di sini termasuklah pelajar yang terlibat yang mana kejadian sama pernah berlaku pada 2019," katanya.

Pada tengah malam Ahad, tular pesanan suara diselangi dengan suara jeritan pelajar dan mesej ringkas yang memaklumkan mengenai kejadian tersebut.

"Sesiapa yang berdekatan SMK Batu Kikir (Model Khas) anak-anak asrama ramai yang kerasukan bermula malam semalam hingga sekarang.

"Warden-warden telah kepenatan dan mohon bantuan sangat-sangat sesiapa yang pakar untuk datang membantu," ujar pesanan itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!