Pelajar sekolah meninggal dunia ketika merentas desa

Ibu Allahyarham yang tidak dapat menahan sebak ketika dikunjungi di HTAN.
Ibu Allahyarham yang tidak dapat menahan sebak ketika dikunjungi di HTAN.
A
A
A

KUALA PILAH - [DIKEMAS KINI] Seorang pelajar lelaki sebuah sekolah menengah di sini rebah sebelum disahkan meninggal dunia ketika menyertai kejohanan merentas desa di sekolahnya pada Jumaat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Deputi Superintenden Syahrul Anuar Abdul Wahab berkata, dalam kejadian jam 8 pagi itu, pelajar terbabit Nuqman Naufal Shamsul Fadzli, 14, dikatakan rebah dan tidak sedarkan diri sebaik menghampiri garisan penamat.

"Allahyarham dan seramai 700 pelajar lain telah mulakan larian merentas desa sepanjang tujuh kilometer.

"Semasa pelajar itu hampir di garisan penamat iaitu lebih kurang 50 meter, dia telah rebah dan tidak sedarkan diri," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ibu Allahyarham (kiri) disantuni Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah anaknya.
Ibu Allahyarham (kiri) disantuni Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah anaknya.

Menurutnya, guru yang berada di lokasi telah cuba memberikan bantuan pernafasan tetapi pelajar itu tidak menunjukkan sebarang tindak balas.

Ujarnya, pihak sekolah kemudiannya telah menghubungi talian 999 dan dia kemudiannya telah dibawa oleh ambulans ke Unit Kecemasan, Hospital Tuanku Ampuan Najihah untuk tindakan lanjut.

"Ambulans tiba di Unit Kecemasan kira-kira jam 10.15 pagi dan setelah hampir sejam memberikan bantuan, akhirnya pelajar itu disahkan meninggal dunia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu katanya, berdasarkan keterangan daripada bapa Allahyarham, dia menghidap penyakit jantung berlubang sejak tahun 2016.

Malah katanya, dia turut mempunyai kad rawatan bagi penyakitnya dari Institut Jantung Negara (IJN) dan dibekalkan dengan ubat-ubatan daripada IJN pada setiap masa.

"Buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). Siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!