Cuaca panas: KPM nasihat murid, pelajar sekolah minum air secukupnya

Fadhlina menyantuni murid-murid orang asli ketika hadir membuat lawatan ke Sekolah Kebangsaan Sri Permai JHEOA Komprehensif 9 (K9), Gua Musang sempena Jelajah Pendidikan Madani Sekolah Murid Orang Asli hari ini. Foto Bernama
Fadhlina menyantuni murid-murid orang asli ketika hadir membuat lawatan ke Sekolah Kebangsaan Sri Permai JHEOA Komprehensif 9 (K9), Gua Musang sempena Jelajah Pendidikan Madani Sekolah Murid Orang Asli hari ini. Foto Bernama
A
A
A

GUA MUSANG - Kementerian Pendidikan menasihatkan semua murid dan pelajar sekolah sama ada di bandar mahupun luar bandar supaya minum air secukupnya serta memakai pakaian seragam sekolah yang bersesuai susulan keadaan cuaca panas.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ibu bapa dan penjaga juga dinasihat supaya sentiasa memantau keadaan anak-anak mereka bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku ketika musim cuaca panas.

Beliau berkata, setiap sekolah telah ada garis panduan terpakai dan diberikan taklimat berhubung aktiviti murid-murid dan pelajar semasa cuaca panas.

"Kami telah memberi penekanan serius berhubung perkara ini berulang kali dan meminta semua sekolah di seluruh negara patuh SOP (Prosedur Operasi Standard) sedia ada.

"Saya percaya setiap sekolah telah melaksanakan penilaian risiko terhadap semua aktiviti berdasarkan garis panduan ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai aktiviti murid-murid semasa cuaca panas selepas meninjau Sekolah Kebangsaan Sri Permai (JHEOA) Komprehensif 9 pada Program Jelajah Pendidikan Madani Sekolah Murid Orang Asli, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh dan Pengarah Pendidikan Kelantan, Datuk Mohd Zamri Abdul Aziz.

Pada 16 April lepas, media melaporkan ibu bapa digalak membuat aduan jika terdapat sekolah yang menganjurkan program atau aktiviti luar bilik darjah meskipun cuaca melebihi 35 darjah Celsius di kawasan terbabit.

Artikel Berkaitan:

Aduan berkenaan boleh dibuat menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) Kementerian Pendidikan bagi memastikan pihaknya menyantuni dan mengambil tindakan sewajarnya berhubung perkara itu. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28