Cubaan golongan ‘desperado’ ganggu-gugat Kerajaan Perpaduan

Perdana Menteri yang juga Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Pengerusi Majlis Penasihat PKR ketika bergambar pada Konvensyen 25 Tahun PKR di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), hari ini. Foto Bernama
Perdana Menteri yang juga Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Pengerusi Majlis Penasihat PKR ketika bergambar pada Konvensyen 25 Tahun PKR di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KONVENSYEN 25 Tahun Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) pada Ahad menjawab beberapa persoalan hangat melibatkan hubungan parti dalam Kerajaan Perpaduan baru-baru ini.

Beberapa isu termasuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu dan Titah Adendum bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut menjadi antara faktor menyebabkan timbulnya pelbagai spekulasi mengenai hubungan dalam gabungan kerajaan Pakatan Harapan (PH) - Barisan Nasional (BN).

Pada Ahad, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa Kerajaan Perpaduan ketika ini umpama sedang retak menanti belah susulan 'perbalahan' pemimpin PH dan BN mengenai Titah Adendum tersebut.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu mendakwa, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Kabinet dalam isu berkenaan jelas menunjukkan 'ketidaksatuan' sesama mereka.

Ia susulan, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum itu menyokong dakwaan Najib mengenai kewujudan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 supaya beliau menghabiskan baki hukuman penjara dengan tahanan di rumah.

Manakala Anwar pula dilaporkan tidak mahu terlibat dengan perbincangan membabitkan titah tambahan berhubung tahanan di rumah membabitkan Najib berikutan perkara tersebut berada di bawah bidang kuasa Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dan turut melibatkan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

Selain itu, timbul pula isu melibatkan PRK Kuala Kubu Baharu, yang mana Jawatankuasa Pembangunan Politik MCA dilaporkan memutuskan untuk tidak terlibat dalam sebarang aktiviti kempen pilihan raya terbabit sekiranya calon dikemukakan bukan daripada BN.

MIC sebelum ini juga membuat keputusan sama dengan alasan serupa.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Anwar menerusi Konvensyen 25 Tahun PKR pada Ahad, menegaskan bahawa hubungan antara parti dalam Kerajaan Perpaduan yang dipimpin olehnya masih kukuh dan mantap tanpa sebarang tanda ‘keretakan’.

Beliau berkata, walaupun ada hal yang dirundingkan di luar jemaah menteri, namun belum ada petanda keretakan kecil antara PH, BN dan parti di Sabah serta Sarawak.

Beliau juga turut menyentuh tindakan mengenai gerombolan-gerombolan ‘desperado’ yang didakwa adu domba mengenai spekulasi-spekulasi tidak benar.

Meskipun tidak dinyatakan siapa terlibat dalam golongan ‘desperado’ itu, namun jelas melihat bermaksud Anwar sedar mengenai tindakan pihak tersebut dalam menganggu-gugat keharmonian gabungan PH-BN.

Justeru, menggunakan platform konvensyen PKR, penjelasan daripada Anwar membuktikan bahawa langkah daripada golongan ‘desperado’ itu tidak mencacatkan aliran jentera parti sempena PRK Kuala Kubu Baharu, malah memberi keyakinan kepada ahli-ahli untuk memperkasakan lagi usaha mereka dalam kempen akan datang.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28