Calon Kerajaan Perpaduan berpotensi menang besar PRK KKB - Fahmi

Fahmi berucap merasmikan Program Jom Baca Bersama 10 Minit@Bernama: Pembacaan Melestarikan Perpaduan di Wisma Bernama hari ini. Foto Bernama
Fahmi berucap merasmikan Program Jom Baca Bersama 10 Minit@Bernama: Pembacaan Melestarikan Perpaduan di Wisma Bernama hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil yakin calon Kerajaan Perpaduan mempunyai potensi untuk menang dengan majoriti besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, 11 Mei ini.

Fahmi berkata, jangkaan itu adalah berdasarkan kerjasama utuh dalam Kerajaan Perpaduan serta khidmat bakti ditunjukkan penyandang kerusi itu mendiang Lee Kee Hiong yang terbukti dirasai penduduk di kawasan berkenaan.

"Insya-ALLAH kita teruskan usaha dan tidak terpengaruh dengan pandangan beberapa pihak mengenai potensi kemenangan Kerajaan Perpaduan.

"Bagi saya masih awal dan dapatan waktu ini, berdasarkan maklumat yang kita terima, peluang kemenangan itu sangat besar, malah beberapa PDM (Pusat Daerah Mengundi), majoriti adalah PDM yang menyokong Kerajaan Perpaduan dan insya-ALLAH kita akan cuba yang terbaik,” katanya kepada pemberita di Wisma Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Jom Baca Bersama 10 Minit@Bernama: Pembacaan Melestarikan Perpaduan yang diadakan dengan kerjasama Kedutaan Sweden di Malaysia sempena Hari Buku dan Hari Hak Cipta Sedunia yang disambut pada setiap 23 April.

Mengulas lanjut, Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, kenyataan beberapa pihak termasuk penganalisis politik berhubung peluang calon Kerajaan Perpaduan hanyalah sekadar pandangan.

Menteri Komunikasi itu berkata, Kerajaan Perpaduan akan meneruskan ikhtiar dengan bekerjasama sebaiknya dengan semua parti yang membentuk kerajaan pada kempen yang bermula Sabtu ini.

"Tidak ada masalah, ini pandangan dan ramai penganalisa dulu yang menyatakan Keadilan (PKR) tidak boleh menang, (Datuk Seri) Anwar Ibrahim tak akan jadi Perdana Menteri, Fahmi tak akan menang di Lembah Pantai sejak 2018 hingga 2022.

Artikel Berkaitan:

"Penganalisa buat analisis berdasarkan apa-apa maklumat yang mereka ada, tetapi qada’ dan qadar bukan ditentukan oleh penganalisa, itu ketentuan tuhan.

"Jangan kita beranggapan bahawa pandangan seperti ini mungkin tidak ada keseluruhan fakta, ia cuma pandangan dan kita terima pandangan tersebut,” katanya.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan berikutan kematian Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Pada Pilihan Raya Negeri Ogos tahun lepas, Kee Hiong menewaskan tiga pencabarnya daripada Perikatan Nasional, Parti Rakyat Malaysia dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dengan meraih majoriti undi sebanyak 4,119.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Sabtu ini (27 April) sebagai hari penamaan calon manakala hari pengundian pada 11 Mei ini. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!