PRK Kuala Kubu Baharu: PN yakin Gerakan tidak boikot jika tak terpilih calon

Muhammad Sanusi ketika berucap pada majlis sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Kumpulan PKNK di Alor Setar.
Muhammad Sanusi ketika berucap pada majlis sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Kumpulan PKNK di Alor Setar.
A
A
A

ALOR SETAR - Perikatan Nasional (PN) yakin Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) tidak akan mengambil pendirian sama seperti MCA dan MIC yang memboikot kempen pilihan raya kecil (PRK) DUN Kuala Kubu Baharu sekiranya calon dikemukakan bukan daripada Barisan Nasional (BN).

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ini kerana parti-parti bawah gabungan PN tidak berdepan masalah selain mempunyai ikatan yang kukuh.

Menurutnya, ia berbeza berbanding ikatan dalam Kerajaan Perpaduan yang disifatkan agak rapuh.

“Saya tak bimbang berlakunya protes (jika Gerakan tidak terpilih sebagai calon),” katanya pada sidang akhbar selepas hadir Rumah Terbuka Aidilfitri Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) di sini pada Ahad.

Sebelum ini, MCA mengambil keputusan untuk tidak terlibat dalam sebarang aktiviti kempen PRK DUN Kuala Kubu Baharu sekiranya calon dikemukakan bukan daripada BN. Ia diputuskan oleh Jawatankuasa Pembangunan Politik parti itu yang bermesyuarat di Ibu Pejabat pada Jumaat.

Keputusan dibuat parti berkenaan sama seperti rakan komponen BN, iaitu MIC yang membuat pendirian sama.

Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah jelaskan, persefahaman antara parti-parti bawah PN masih erat dan sebarang keputusan berkaitan calon DUN terbabit akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada Isnin.

Mengulas hasrat Gerakan yang mahu meletakkan calon di Kuala Kubu Baharu, Sanusi berkata, parti itu boleh mengemukakan cadangan berkenaan dalam mesyuarat tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Esok (Isnin) baru mesyuarat, saya akan hadir mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang akan bincangkan mengenai calon PRK.

“Dalam mesyuarat itu juga, saya akan kemukakan cadangan saya sebelum ini, yang mahu cadangkan calon Melayu mewakili PN, dari parti mana tak kisahlah,” ujarnya.

Pada Sabtu, Gerakan sebulat suara memutuskan untuk bertanding di PRK Kuala Kubu Baharu yang akan diadakan pada 11 Mei depan.

Menerusi satu kenyataan, Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, namun parti itu bersedia menerima sebarang kemungkinan kerana keutamaan adalah untuk memastikan kemenangan PN pada PRK tersebut.

Sebelum itu pada Khamis, Sanusi menyuarakan agar calon Melayu diletakkan sebagai calon PRK Kuala Kubu Baharu kerana dikatakan peluang untuk PN menang lebih besar.

Sementara Pengarah PRK Kuala Kubu Baharu bagi Pakatan Harapan (PH), Ng Sze Han pula berkata, pihaknya mempunyai ramai calon yang layak bertanding terdiri daripada pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina dan India.

“Kalau DAP pun nak letak calon Melayu, itu terpulang kepada parti itu untuk berikan saingan,” kata Sanusi lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing pada 27 April dan 7 Mei depan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!