PRK Kuala Kubu Baharu: Tak banyak kerusi faktor MCA, MIC tidak terlibat

Shahril Sufian bersama Khairy Jamaluddin menerusi program Podcast Keluar Sekejap di saluran Youtube pada Isnin
Shahril Sufian bersama Khairy Jamaluddin menerusi program Podcast Keluar Sekejap di saluran Youtube pada Isnin
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan MCA dan MIC untuk tidak terlibat dalam sebarang aktiviti kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu (KKB) sekiranya calon dikemukakan bukan daripada BN atas beberapa faktor termasuk kedua-dua parti tersebut tidak banyak kerusi dalam Kerajaan Perpaduan.

Bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berpendapat, hanya Pakatan Harapan (PH), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan UMNO dilihat menjalinkan kerjasama dalam kerajaan tetapi bukan Barisan Nasional (BN).

Beliau mendakwa MIC dan MCA tidak mempunyai kekuatan, namun kini cuba untuk menjadi sebuah parti yang berfungsi dalam kerajaan.

"Kita tengok Wee Ka Siong contohnya dia sekarang membina satu imej untuk menjadi pengkritik dari dalam kerajaan.

"Itu adalah fungsi tetapi dari segi kerjasama dalam politik di peringkat kepimpinan nampak sangat MIC dan MCA dipinggirkan dan terpinggir atau mungkin juga tidak mahu dilihat terhengeh-hengeh untuk diterima oleh rakan dalam kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi program Podcast Keluar Sekejap yang dikendalikan bersama Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada Isnin di saluran Youtube.

Jawatankuasa Pembangunan Politik MCA pada Jumaat dilaporkan memutuskan untuk tidak terlibat dalam sebarang aktiviti kempen PRK DUN Kuala Kubu Baharu sekiranya calon dikemukakan bukan daripada BN.

MIC sebelum ini turut membuat keputusan sama dengan alasan serupa.

Artikel Berkaitan:

Tambah Shahril, MIC dan MCA perlu membuat keputusan suatu hari nanti berhubung kedudukan mereka dalam kerajaan.

"Mereka mahu buat apa sebenarnya, masih mahu berada dalam BN, dilayan sebegini atau buat sesuatu yang lebih radikal, itu terpulang," jelasnya.

Menerusi Podcast Keluar Sekejap, mereka turut mengulas berhubung tindakan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan RM5.21 juta kepada Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) bagi menambah baik infrastruktur awam di bawah kelolaannya, untuk kesejahteraan penduduk sekitar Hulu Selangor.

Menurut Shahril Sufian, perkara tersebut tidak akan memberi kesan kepada pengundi di kawasan berkenaan.

"Pengundi tidak akan termakan atau membuat undian hanya kerana ada projek atau pengumuman tertentu kecuali yang betul-betul terlibat dengan perkara tersebut," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!