PRK Kuala Kubu Baharu: Parti bertanding perlu kempen secara matang

Dr Halimah. Foto Sinar Harian-ASRIL ASWANDI SHUKOR
Dr Halimah. Foto Sinar Harian-ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu digesa untuk berkempen secara matang dan mematuhi segala peraturan serta undang-undang.

Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali berkata, ia bertujuan memberi ruang kepada pengundi di kawasan berkenaan untuk menilai dan membuat keputusan dalam memilih parti yang mahu disokong.

“Setelah lebih 66 tahun merdeka, kita mengharapkan semua pihak akan berkempen secara matang dan mematuhi segala peraturan serta undang-undang untuk memberi ruang seluas-luasnya kepada para pengundi di Kuala Kubu Baharu menilai dalam membuat keputusan.

“Biar segalanya berjalan dalam suasana muhibbah dan harmoni tanpa ada sebarang unsur paksaan atau diskriminasi.

“Kita mengharapkan tiada penyalahgunaan kuasa oleh mana-mana pihak untuk mempengaruhi para pengundi,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, media melaporkan PRK Kuala Kubu Baharu diadakan berikutan kematian Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu selepas beberapa tahun bertarung melawan kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK berkenaan pada 11 Mei ini manakala penamaan calon ditetapkan pada 27 April serta pengundian awal, 7 Mei.

Mengulas lanjut, Halimah berharap agar pengundi memilih calon yang berwibawa, bersih, bermoral dan mampu membela nasib serta kebajikan rakyat.

Artikel Berkaitan:

“Rakyat Malaysia berbilang kaum di Kuala Kubu Baharu diyakini dapat membuat keputusan dengan sebaiknya demi masa depan negara dan negeri Selangor.

“Selamat berpilihan raya para pengundi Kuala Kubu Baharu,” ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28