KKM, KPM teliti semula SOP aktiviti luar bilik darjah

Dr Dzulkefly pada sidang media ketika hadir ke Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Kuala Selangor di Puncak Alam pada Ahad.
Dr Dzulkefly pada sidang media ketika hadir ke Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Kuala Selangor di Puncak Alam pada Ahad.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kementerian Kesihatan (KKM) akan meningkatkan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) berkaitan segala aktiviti luar bilik darjah yang dilaksanakan di semua sekolah seluruh negara.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, SOP semula itu perlu dilaksanakan susulan kematian seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun ketika menyertai aktiviti merentas desa pada Jumaat lalu.

Jelas beliau, kejadian itu perlu dijadikan iktibar bagi mewujudkan satu SOP yang lebih tuntas dan berkesan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

"Saya pada awal sudah menegur perkara ini, namun mungkin tidak ada satu tindakan yang tegas, tuntas dan jelas.

"Bagi saya, perlu ada satu SOP yang jelas mengenainya," katanya ketika ditemui pada Majlis Aidilfitri Parlimen Kuala Selangor di Puncak Alam di sini pada Ahad.

Sehubungan itu, katanya, beliau yakin Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Pengarah Jabatan Pendidikan akan meningkatkan penguatkuasaan berhubung SOP tersebut.

Sebelum ini, pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar di Gentam, Negeri Sembilan meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai aktiviti merentas desa, kira-kira jam 8 pagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Deputi Superintenden Syahrul Anuar Abdul Wahab berkata mangsa, Nuqman Naufal Shamsul Fadzli, 14, berasal dari Nilai itu terlibat dalam kejohanan merentas desa peringkat sekolah melibatkan jarak tujuh kilometer bersama dengan kira-kira 700 orang pelajar lain.

Artikel Berkaitan:

Pelajar itu dibawa menaiki ambulans ke Unit Kecemasan Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), namun disahkan meninggal dunia selepas hampir sejam diberikan bantuan kecemasan.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai satu rakaman yang tular memaparkan puluhan kampit beras, tepung dan sardin dibuang di tapak pelupusan sampah, Dr Dzulkefly memberitahu, soal makanan yang mengalami tarikh luput dan tidak selamat dimakan tidak boleh diambil mudah.

"Semua pihak perlu jelas tentang perkara itu bagi memastikan apa jua bentuk makanan mestilah selamat untuk dimakan," kata beliau.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28