DAP hormati keputusan mahkamah libat isu tahanan rumah Najib

Nie Ching (dua dari kanan) beramah mesra dengan ahli Persekutuan Persatuan-Persatuan Perniagaan Emas dan Permata Malaysia selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-47 persatuan itu di Iskandar Puteri pada Ahad
Nie Ching (dua dari kanan) beramah mesra dengan ahli Persekutuan Persatuan-Persatuan Perniagaan Emas dan Permata Malaysia selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-47 persatuan itu di Iskandar Puteri pada Ahad
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - DAP akan menghormati keputusan mahkamah berhubung permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun sebagai tahanan di rumah.

Ketua Wanita DAP, Teo Nie Ching berkata, pihaknya tetap menghormati keputusan mahkamah itu nanti walaupun sebelum ini parti tersebut pernah berkempen supaya bekas Perdana Menteri itu dipenjarakan.

"Saya tidak mahu komen banyak sebab dalam kes Datuk Seri Najib, pendirian DAP adalah jelas bahawa beliau bersalah.

"Kita telah berkempen tentang perkara itu selama beberapa tahun dan beliau juga telah dijatuhkan hukuman.

"Jadi berhubung isu ini (tahanan di rumah), kita akan menghormati, kita tidak boleh kata tidak terima kerana semasa beliau dijatuhkan hukuman bersalah, itu juga merupakan keputusan mahkamah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-47 Persekutuan Persatuan-Persatuan Perniagaan Emas dan Permata Malaysia di sini pada Ahad.

Beliau mengulas berhubung permohonan Najib bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman Titah Adendum atau tambahan titah Al-Sultan Abdullah di Mahkamah Tinggi Putrajaya pada 1 April lalu.

Dalam notis permohonan itu, beliau memohon perintah untuk semua atau seorang responden melaksanakan titah Al-Sultan Abdullah dan dengan serta-merta memindahkannya dari Penjara Kajang ke kediamannya.

Artikel Berkaitan:

Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, beliau enggan terlibat berhubung isu berkenaan dan memaklumkan itu di bawah bidang kuasa Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dan melibatkan Yang di-Pertuan Agong serta raja-raja Melayu.

"Saya tidak mahu terlibat perbincangan soal titah adendum dan sebagainya, ini bidang kuasa lembaga pengampunan dan wewenang sepenuhnya Agong atau raja-raja Melayu," ujar Anwar.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28