Ambil alih bangunan lama jadi penginapan pelancong

Sze Yee (tengah) menyempurnakan Majlis Pra Pelancaran Perak Tourism Award 2024 yang bakal diadakan pada 13 September depan.
Sze Yee (tengah) menyempurnakan Majlis Pra Pelancaran Perak Tourism Award 2024 yang bakal diadakan pada 13 September depan.
A
A
A

IPOH - Perak memberi galakan kepada pemaju dan pemain industri pelancongan mengambil alih bangunan-bangunan lama di negeri ini untuk dijadikan kemudahan penginapan baharu.

Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, inisiatif itu diyakini dapat membantu kerajaan negeri menampung kekurangan bilik penginapan yang dihadapi ketika ini.

Menurutnya, kehadiran pelancong yang direkodkan ketika ini adalah tinggi dan kekurangan tersebut menjadi kekangan kerajaan negeri untuk menarik kunjungan lebih ramai pelancong khususnya dalam tempoh Tahun Melawat Perak 2024.

"Sebenarnya permintaan untuk pelancong bermalam di negeri ini tinggi, namun disebabkan kekurangan penginapan menyebabkan kebanyakan mereka memilih negeri jiran seperti Pulau Pinang sebagai tempat bermalam.

"Kita tidak minta pemaju bina hotel bertaraf lima atau enam bintang, cukuplah dengan mengambil alih bangunan-bangunan lama sedia ada yang bersesuaian," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pra Pelancaran Perak Tourism Award 2024 di Hotel MU di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, kerajaan negeri bersama agensi terlibat sedia membantu pengusaha berminat dari aspek pasaran dan promosi secara menyeluruh.

"Apabila mereka melabur, mereka bimbang sama ada pelancong akan tidur atau tidak, jadi kerajaan negeri akan bantu.

"Usaha ini ibarat situasi menang-menang. Hanya perlu pastikan penginapan berkenaan selesa, bersih dan menawarkan harga berpatutan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Sze Yee berkata, Perak tidak menerima sebarang pembatalan percutian susulan letusan gunung berapi di Gunung Ruang, Indonesia yang mengakibatkan ribuan penumpang beberapa syarikat penerbangan terkandas.

"Kita (Perak) tidak ada penerbangan ke Sabah atau Sarawak, jadi kejadian ini tidak melibatkan negeri ini dan setahu saya, tiada pembatalan direkodkan daripada pengunjung," katanya.

Jelasnya, impak kejadian itu mungkin dapat memberi sedikit kesan positif dalam tempoh jangka pendek terhadap pelancongan domestik.

"Sebagai contoh, mereka yang datang jauh nak ke asia tenggara, mereka mempunyai pilihan lain dari berkunjung ke kawasan terjejas dengan mengunjungi lokasi menarik di semenanjung," katanya.

Perak Tourism Award 2024 yang diadakan pada 13 September depan menyaksikan 40 anugerah pelancongan dipertandingan terdiri 10 kategori antaranya penginapan, perkhidmatan, produk pelancongan dan makanan.

Kali terakhir anugerah itu diadakan pada 2017 lalu antara lain bagi memberi penghargaan atas jasa dan sumbangan penggiat industri pelancongan Perak.