Beras rosak boleh dicuci, dijadikan makanan haiwan ternakan - Exco

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Tindakan membuang beras di tempat pelupusan sampah dilihat amat merugikan kerana sumber makanan itu boleh dijadikan makanan haiwan ternakan.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, beras rosak dan dikatakan tidak selamat dimakan manusia itu boleh dicuci dan dibersihkan semula menggunakan mesin yang ada di kilang pembungkusan beras berbanding dibuang begitu sahaja.

"Ketika majoriti rakyat sukar untuk mendapatkan bekalan beras, ada pihak yang boleh menyimpan stok beras sehingga rosak. Biasanya kerosakan berlaku kerana ia disimpan dalam tempoh masa yang lama.

"Sangat merugikan jika hasil titik peluh para petani di sawah akhirnya dibuang begitu sahaja di tempat pembuangan sampah sedangkan ada cara yang membolehkan ia dimanfaatkan lagi," katanya menerusi kenyataan di media sosialnya pada Jumaat.

Menurut beliau, beras yang dimasuki bubuk bukan bermakna beras berkenaan telah rosak dan tidak selamat dimakan.

"Memang beras tempatan agak cepat masuk bubuk berbanding beras import kerana beras tempatan tak ada campuran bahan kimia. Tiada bahan kimia menjadikan ia lebih baik dan selamat untuk dimakan.

"Bubuk juga cepat masuk jika beras disimpan di tempat lembap. Tolong jangan buang beras kalau tengok ada bubuk. Ia masih selamat dimakan selepas dicuci dan diproses semula," katanya.

Terdahulu, tular video yang memaparkan barangan asas antaranya beras, tepung dan sardin dibuang di tapak pelupusan sampah berdekatan laluan pintasan Rumpun Makmur, Kampung Gunung Senyum, Temerloh, Pahang.

Artikel Berkaitan:

Video tular sejak Khamis lalu di media sosial itu telah menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat.

Sementara itu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan pada Jumaat berkata, beras yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah itu didapati telah rosak dan tidak selamat untuk dimakan.

Menurutnya, ia berikutan hasil siasatan yang dijalankan oleh pihak Kawalselia Padi dan Beras (KPB) cawangan Temerloh yang telah turun ke lokasi kejadian.

Kementerian itu turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi kerana perkara berkenaan masih dalam siasatan di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522).

Sebelum itu, bekas Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said mengakui barangan keperluan asas yang dibuang di tapak pelupusan sampah haram di Temerloh adalah dari gudang simpanan dikendalikan pihaknya.

Katanya, barangan terbabit sudah mengalami kerosakan dan tidak selamat untuk diagihkan kepada penduduk sekitar.

Ismail dalam kenyataan itu turut memohon maaf atas kejadian yang berlaku.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!