Harga hotel naik: Beri kesan buruk kepada industri pelancongan

Sinar Harian melaporkan harga hotel dijangka naik antara 10 hingga 30 peratus susulan peningkatan kadar SST kepada lapan peratus bermula 1 Mac ini. Gambar kecil: Amirullah dan Mohd Najib
Sinar Harian melaporkan harga hotel dijangka naik antara 10 hingga 30 peratus susulan peningkatan kadar SST kepada lapan peratus bermula 1 Mac ini. Gambar kecil: Amirullah dan Mohd Najib
A
A
A

SHAH ALAM - Harga hotel yang dijangka naik susulan peningkatan kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bermula Mac ini boleh memberi kesan buruk kepada industri pelancongan negara.

Pengarah AMK Holidays Sdn Bhd, Amirullah Kamarudin, 52, berkata, ia akan menjejaskan jumlah pelancong yang mahu bercuti di dalam negara.

“Rakyat sedang berdepan dengan banyak kenaikan harga barangan dan kini pusat penginapan untuk percutian dalam negara pula mengalami kenaikan.

“Jadi kerajaan perlu lihat semula keadaan ini. Rakyat digalakkan bercuti sebagai usaha meningkatkan pemulihan ekonomi negara namun kenaikan harga hotel bakal memberi impak kepada sektor pelancongan,” katanya.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan harga hotel dijangka naik antara 10 hingga 30 peratus susulan peningkatan kadar SST kepada lapan peratus bermula 1 Mac ini.

Dalam pada itu, pendapat berbeza dikongsikan pengusaha Lutfir Semporna Travel & Tour Sdn Bhd, Mohd Najib Takap, 30, yang menyifatkan kenaikan harga hotel itu tidak menjejaskan sektor pelancongan kerana hanya mengalami kenaikan minimum.

“Harga hotel mungkin mengalami kenaikan antara 10 hingga 30 peratus, tetapi perkhidmatan lain tidak terlibat.

“Selain itu, orang ramai yang merancang untuk melancong pastinya telah mempunyai kewangan mencukupi kerana telah membuat persiapan awal seperti simpanan. Jadi kenaikan hanya untuk bayaran penginapan tidak terlalu terkesan,” katanya.

Artikel Berkaitan: