Madrasah Ramadan berakhir, apa seterusnya?

Penetapan semula jadual kehidupan seharian selepas sebulan latih diri

TEMPOH sebulan latihan sepanjang Ramadan sebenarnya adalah suatu tempoh yang cukup untuk menetapkan kembali jadual kehidupan seharian. Foto Canva/Gambar kecil: DR AHMAD BAZLI
TEMPOH sebulan latihan sepanjang Ramadan sebenarnya adalah suatu tempoh yang cukup untuk menetapkan kembali jadual kehidupan seharian. Foto Canva/Gambar kecil: DR AHMAD BAZLI
A
A
A

RAMADAN telah berlalu pergi. Walaupun ia adalah kemuncak kepada ibadat, tetapi ini tidak bermakna segala ibadat yang dilakukan sepanjang Ramadan terus ditinggalkan.

Antara sedar atau tidak, Ramadan bukan sahaja berperanan untuk menetapkan semula pola pemakanan, malah tempoh sebulan latihan tersebut sebenarnya adalah suatu tempoh yang cukup untuk menetapkan kembali jadual kehidupan seharian.

Menghidupkan waktu malam

Jika sebelum ini kita menunggu Maghrib untuk berbuka sama ada di rumah atau di masjid, jadikan ia amalan dengan menunggu waktu di sejadah untuk segera bersolat.

Makan malam boleh diselesaikan sebelum masuk waktu Maghrib. Waktu antara Maghrib dan Isyak pula boleh difokuskan kepada ibadah membaca al-Quran dan mendalami ilmu agama.

Begitu juga peruntukan waktu untuk solat tarawih sebelum ini diisi dengan ibadah.

Tidak dilupakan solat sunat witir, ia boleh dilakukan sebelum atau selepas bangun daripada tidur sebanyak tiga rakaat.

Sebelum ini kita bangun pagi sebelum Subuh untuk bersahur, waktu yang sama jugalah kita akan bangun Pasca-Ramadan untuk qiamullail dengan solat tahajud, baca al-Quran, beristighfar dan lain-lain.

Artikel Berkaitan:

AMBIL masa seketika untuk berfikir dan melakukan perancangan agar hidup lebih tersusun. Foto Pexels
AMBIL masa seketika untuk berfikir dan melakukan perancangan agar hidup lebih tersusun. Foto Pexels

ALLAH SWT menyebutkan dalam al-Quran ciri-ciri orang bertakwa ialah mereka yang tidur sedikit pada waktu malam dan beristighfar pada waktu sahur (sebelum Subuh). Firman ALLAH dalam ayat ke-16 dan ke-17 Surah az-Zariyat:

"Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja masa dari waktu malam untuk mereka tidur.

"Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada ALLAH (memohon ampun).”

Dalam ayat yang lain, ALLAH menyatakan orang yang bertahajud akan dibangkitkan dan ditempatkan pada kedudukan yang terpuji:

”Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah 'solat tahajud' padanya, sebagai solat tambahan bagimu. Semoga Tuhan kamu membangkit dan menempatkan kamu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.” (Surah al-Israk: 79)

Solat berjemaah

Begitu juga dengan solat Subuh berjemaah di masjid selepas sahur dan solat Isyak berjemaah sebelum solat tarawih sepatutnya diteruskan seperti sebelumnya.

Az-Zarqani menyebutkan dalam syarah kitab Muwatta’ al-Imam Malik bahawa Abu Darda’ ketika sakit hendak meninggal dunia menyebutkan:

"Dengarkan dan sampaikanlah, peliharalah dua solat jemaah ini iaitu Isyak dan Subuh.

"Kalaulah kamu mengetahui pahala yang terdapat pada kedua-duanya nescaya kamu akan mendatanginya walaupun dalam keadaan merangkak di atas siku-siku dan lutut-lutut kamu."

Namun, ini bukan bermakna solat berjemaah pada waktu selain Isyak dan Subuh tidak dituntut untuk dilaksanakan. Cabaran untuk berjemaah pada dua solat ini lebih tinggi berbanding yang lain.

Melazimi puasa sunat

Puasa sunat enam hari di bulan Syawal diperumpamakan seperti puasa setahun oleh Rasulullah SAW.

Puasa enam Syawal ini ialah kesinambungan kepada momentum Ramadan dan kita seharusnya merebut peluang ini.

Puasa sunat juga boleh dilazimi pada setiap hari Isnin, Khamis dan Hari-hari Putih iaitu pada 13, 14 dan 15 hari bulan setiap bulan.

AMBIL masa seketika untuk berfikir dan melakukan perancangan agar hidup lebih tersusun. Foto Canva
AMBIL masa seketika untuk berfikir dan melakukan perancangan agar hidup lebih tersusun. Foto Canva

Bacaan al-Quran

Tidak lupa dengan pembacaan al-Quran perlu diteruskan paling kurang jika membaca dua halaman sehari, kita akan mampu khatam sekali setahun.

Jika dibaca lima halaman sehari, kita akan khatam dalam masa empat bulan sekali.

Solat sunat rawatib

Sunat rawatib muakkad sebanyak 12 rakaat sehari semalam (dua rakaat sebelum Subuh, empat rakaat sebelum dan dua rakaat selepas Zohor, dua rakaat selepas Maghrib dan Isyak) juga diteruskan kerana itulah sunnah Rasulullah SAW, selain peranannya menyempurnakan solat fardu yang ditunaikan yang mungkin terdapat kekurangan.

TERUSKAN bacaan al-Quran secara konsisten walaupun Ramadan sudah berakhir. Foto Pexels
TERUSKAN bacaan al-Quran secara konsisten walaupun Ramadan sudah berakhir. Foto Pexels

Qailulah

Pada waktu rehat bekerja semasa Ramadan kita manfaat waktu untuk tidur sebentar (qailulah), teruskan amalan tersebut kerana waktu rehat selain bulan Ramadan adalah lebih panjang.

Bahagikan masa untuk qailulah selama 15 minit, solat, zikir dan baca Quran kira-kira 20 minit dan selebihnya untuk kendiri.

Sebagai penutup, peruntukan masa untuk perkara yang melalaikan sepanjang Ramadan secara automatik telah berkurang dan ia wajar diteruskan dengan melakukan perkara yang bermanfaat.

Roh Ramadan seharusnya terus subur dalam diri seseorang individu dan masyarakat. Ini kerana amalan yang dicintai oleh ALLAH SWT ialah sesuatu yang berterusan walaupun sedikit.