Iktibar banjir besar zaman Nabi Nuh AS

GAMBARAN ilustrasi bahtera Nabi Nuh AS ketika banjir besar yang berlaku pada zaman baginda. Foto Canva
GAMBARAN ilustrasi bahtera Nabi Nuh AS ketika banjir besar yang berlaku pada zaman baginda. Foto Canva
A
A
A

BANJIR besar yang melanda Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan beberapa negara Teluk yang lain dianggap sebagai satu bencana alam yang luar biasa.

Manakan tidak, keadaan Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai bertukar seperti marina apabila pesawat dilihat menjadi bot setelah seluruh kawasan landasan ditenggelami banjir susulan hujan lebat dahsyat melanda UAE sejak awal minggu itu.

Pusat Meteorologi Kebangsaan mengesahkan taburan hujan luar biasa dicatatkan dalam tempoh 75 tahun dan terdapat laporan mendakwa jumlah itu melebihi dua kali ganda rekod untuk tempoh sepanjang tahun.

Bencana alam banjir besar yang melanda UAE dan negara Teluk serta beberapa negeri dalam negara ketika ini mengingatkan kita mengenai kisah Nabi Nuh AS.

Sebelum banjir besar berlaku, Nabi Nuh AS mengadu kepada ALLAH SWT tentang kekufuran dan keingkaran kaumnya sebelum ALLAH mewahyukan kepada baginda agar membuat bahtera:

“Dan binalah bahtera itu dengan pengawasan dan petunjuk wahyu Kami, dan janganlah kamu membicarakan kepada-KU tentang orang-orang yang zalim. Sesungguhnya mereka itu akan ditenggelamkan.” (Surah Hud: 37)

Maka bermulalah Nabi Nuh AS membuat bahtera daripada bahan kayu, besi dan sebagainya. Setiap kali kaum baginda berjalan melaluinya, mereka mengejek dengan berkata: “Wahai Nuh, benarkah engkau akan jadi tukang kayu setelah habis masa kenabianmu?”

Baginda menjawab: “Jika kamu mengejek kami (pun) akan mengejek kamu sebagaimana kamu mengejek (kami). Maka kelak kamu akan mengetahui.” (Surah Hud: 38)

Artikel Berkaitan:

Saiz bahtera Nabi Nuh AS

Para ulama dan ahli sirah mempunyai pendapat yang berbeza mengenai saiz bahtera yang dibina Nabi Nuh AS.

Diriwayatkan bahawa bahtera tersebut panjangnya 80 hasta, lebarnya 50 hasta dan tingginya 30 hasta.

Qatadah berkata: “Panjangnya kapal itu 300 hasta, lebarnya 50 hasta dan tingginya 30 hasta.”

Menurut Hassan pula: “Panjangnya 1,200 hasta dan lebarnya 600 hasta.”

ILUSTRASI bahtera yang dibina Nabi Nuh AS seperti yang diperintahkan ALLAH SWT kepada baginda. Foto Canva
ILUSTRASI bahtera yang dibina Nabi Nuh AS seperti yang diperintahkan ALLAH SWT kepada baginda. Foto Canva

ALLAH memerintahkan agar baginda menjadikan bahtera itu kepada tiga tingkat iaitu bahagian bawah, tengah dan atas.

Nabi Nuh AS mengerjakan sesuai dengan apa yang diperintahkan-NYA. Ketika sudah selesai dan tibalah waktu yang ALLAH janjikan kepadanya:

“Hingga apabila perintah Kami datang dan tungku (dapur) telah memancarkan air, Kami berfirman: ‘Muatkanlah ke dalamnya (bahtera itu) daripada masing-masing (haiwan) sepasang (jantan dan betina) dan (juga) keluarga kamu kecuali orang yang telah terkena ketetapan terdahulu dan (muatkan juga) orang beriman.’ Ternyata orang-orang yang beriman yang bersama dengannya (Nuh) hanya sedikit.” (Surah Hud: 40)

Mengenai besarnya bahtera Nabi Nuh AS, tiada riwayat yang sahih dicatatkan. Semuanya hanya cerita daripada Bani Israel yang diceritakan dari mulut ke mulut, dengan pelbagai versi yang berbeza.

Oleh itu kita tidak perlu mempercayainya ataupun mendustakannya.

Rasulullah SAW, umat Baginda saksi dakwah Nabi NUH AS

Abu Said RA meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda:

“Pada hari kiamat Nabi Nuh AS dan umatnya akan dipanggil menghadap ALLAH. Lalu ALLAH bertanya kepada baginda:

‘Apakah kamu telah menyampaikan dakwah kamu?’ Baginda menjawab: ‘Sudah, wahai Tuhanku.’

Lalu ALLAH bertanya kepada umat baginda: ‘Apakah dia sudah menyampaikan pesan Kami kepada kamu?’

Mereka menjawab: ‘Tidak! Tidak ada seorang nabi pun yang datang kepada kami.’

Kemudian ALLAH bertanya lagi kepada Nabi Nuh: ‘Siapa yang akan menjadi saksi bagi kamu?’

Baginda menjawab: ‘Muhammad SAW dan umatnya.’

Maka kita bersaksi bahawasanya daie (Nabi Nuh) telah menyampaikan dakwahnya.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Tugas nabi beri peringatan, tauhidkan ALLAH SWT

Daripada kisah Nabi Nuh AS di atas dikeluarkan nasihat dan pengajaran:

1 – Tugas yang dipikul oleh tiap-tiap rasul yang diutuskan ALLAH SWT semuanya sama, iaitu memberi peringatan dan mentauhidkan ALLAH.

DIA telah mengutus Nabi Nuh AS kepada umatnya dan menurunkan al-Haq (kebenaran) kepada baginda yang wajib disampaikan.

Nabi Nuh AS telah menyampaikannya secara lengkap dan sempurna. Tidaklah ada sesuatu yang bermanfaat bagi umatnya dalam urusan agama mereka melainkan telah diperintahkannya.

Dan tiada sesuatu yang membahayakan umatnya melainkan dia telah melarangnya dan mengingatkannya.

2 – Pada hari kiamat kelak, umat Nabi Muhammad SAW akan diminta untuk bersaksi atas persaksian Nabi Nuh AS bahawa baginda telah menyampaikan seluruh ajarannya kepada umatnya.

Perintah berdoa sebelum mula perjalanan

ALLAH SWT memerintahkan kita untuk berdoa sebelum memulakan aktiviti, agar kita berada dalam kebaikan dan keberkatan sehingga mendapatkan keselamatan.

DARI kisah Nabi Nuh AS, dapat diambil pengajaran agar berdoa sebelum memulakan perjalanan seperti diamalkan Rasulullah SAW. Foto Pexels
DARI kisah Nabi Nuh AS, dapat diambil pengajaran agar berdoa sebelum memulakan perjalanan seperti diamalkan Rasulullah SAW. Foto Pexels

Ketika mahu masuk ke dalam kapal, Nabi Nuh AS menyebut: “Naiklah kamu semua ke dalam (kapal) dengan (menyebut) nama ALLAH pada waktu berlayar dan berlabuh. Sesungguhnya Tuhanku MAHA PENGAMPUN lagi MAHA PENYAYANG.” (Surah Hud: 41)

Kebergantungan kepada ALLAH ketika memulakan perjalanan hingga ke penghujungnya turut diamalkan Rasulullah SAW.

Ibnu Umar RA meriwayatkan Rasulullah SAW apabila sudah berada di atas tunggangannya untuk melakukan perjalanan, Baginda bertakbir tiga kali kemudian berdoa:

“MAHA SUCI ALLAH yang telah menundukkan semua ini bagi kami, sedangkan kami sebelumnya tidak mampu menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah kami dikembalikan.

“Ya ALLAH, jadikanlah kebaikan dan ketakwaan dalam perjalanan kami ini, dan kami memohon kepada-MU amalan yang ENGKAU redai.

“Ya ALLAH, mudahkanlah kami dalam perjalanan ini dan persingkatkanlah jaraknya.

“Ya ALLAH, ENGKAULAH yang menyertai perjalanan ini dan ENGKAULAH yang menguruskan keluarga kami.

“Ya ALLAH, sesungguhnya aku berlindung kepada-MU daripada rasa lelah dalam perjalanan, daripada pemandangan yang mengerikan, dan daripada akibat yang buruk dalam harta mahupun keluarga kami.” (Hadis Riwayat Muslim)

***Dipetik dan diolah dari Al-Quran Al-Karim Amazing terbitan Karya Bestari Sdn. Bhd.