Hadir Aidilfitri Madani, Sanusi akan serah 'wishlist' Kedah kepada PM

Sanusi (kiri) menyerahkan sampul duit raya kepada kanak-kanak yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Menteri Besar di kediaman rasminya di Seri Mentaloon pada Khamis.
Sanusi (kiri) menyerahkan sampul duit raya kepada kanak-kanak yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Menteri Besar di kediaman rasminya di Seri Mentaloon pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan akan hadir memeriahkan sambutan Hari Raya Aidilfitri Madani yang akan diadakan di Tasik Bandar Darulaman pada 4 Mei depan.

Beliau berkata, program yang dijangka dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu akan berlangsung pada sebelah malam.

Menurutnya, Anwar juga dijadualkan mengadakan perjumpaan rasmi di pejabatnya di Wisma Darul Aman pada sebelah petang.

“Kita akan adakan majlis raya (malam), selain itu Perdana Menteri akan hadir ke Wisma Darul Aman untuk acara rasmi kerajaan pada hari sama.

“Saya sudah bersedia untuk menyuarakan hasrat Kedah atau ‘wishlist’ kepada Perdana Menteri dalam perjumpaan tersebut,” katanya pada sidang akhbar pada Majlis Rumah Terbuka Menteri Besar di kediaman rasminya, di Seri Mentaloon pada Khamis.

Sanusi bagaimanapun enggan mendedahkan senarai permohonan Kedah yang akan dibentangkan dalam pertemuan bersama Anwar.

“Saya sudah senaraikan (wishlist Kedah), saya harap ia dapat ditunaikan. Mana boleh habaq (beritahu) lagi, saya perlu habaq PM dulu,” katanya.

Sanusi tegaskan, kerajaan negeri akan memberikan kerjasama penuh kepada Kerajaan Persekutuan dalam penganjuran Rumah Terbuka Madani tersebut.

Artikel Berkaitan:

Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diadakan di tujuh negeri bermula di Johor, diikuti Sabah pada 20 April, Melaka (22 April), Kelantan (2 Mei), Kedah (4 Mei), Pulau Pinang (5 Mei) dan berakhir di Terengganu pada 9 Mei.

Penganjuran majlis itu bagi memupuk semangat muhibah dan perpaduan kalangan masyarakat serta membolehkan pemimpin beramah mesra dengan rakyat.

Penganjuran Majlis Sambutan Aidilfitri Madani ini merupakan kerjasama antara kerajaan negeri selaku tuan rumah dan kementerian peneraju sebagai pelaksana bersama.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28