25,000 pengunjung meriahkan Aidilfitri Madani 2024 di Sabah

Anwar bersama Hajiji Noor beramah mesra dengan orang ramai pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, pada Sabtu. Foto Bernama
Anwar bersama Hajiji Noor beramah mesra dengan orang ramai pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Majlis sambutan Aidilfitri Madani 2024 peringkat kebangsaan yang julung kali diadakan di Sabah pada Sabtu menjadi platform dalam memupuk perpaduan harmoni masyarakat pelbagai kaum khususnya di negeri itu.

Kira-kira 25,000 tetamu hadir memeriahkan majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini yang turut diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Majlis dirasmikan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin itu turut dihadiri oleh kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Usahawan kedai roti Chong Mei Chem, 29, dari Sipitang, berkata, dia datang ke Kota Kinabalu kerana tidak mahu melepaskan peluang merasai sendiri kemeriahan suasana sambutan Aidilfitri Madani bersama Perdana Menteri.

"Sambutan Aidilfitri Madani ini sangat meriah dan ramai orang. Majlis seperti ini sangat bagus dalam mengeratkan silaturahim kerana masyarakat pelbagai bangsa datang ke sini meraikannya," katanya ketika ditemui Bernama pada majlis itu di sini pada Sabtu.

Kakitangan awam Asmah Dua, 47, dari Kota Marudu berkata, sambutan Aidilfitri seumpama itu perlu diteruskan kerana banyak membawa manfaat dalam menyemarakkan semangat muhibah dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

Berkongsi perasaan menghadiri sambutan Aidilfitri Madani, Asmah sangat teruja dan gembira terutama ketika menyaksikan persembahan kebudayaan pelbagai kaum sekali gus memperlihatkan perpaduan utuh di Malaysia.

"Saya datang dari Kota Marudu ke sini bersama keluarga dan rakan-rakan kerana ingin merasai sendiri suasana sebenar sambutan Aidilfitri Madani," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kontraktor Mohd Yaakob Aliakbar, 47, dari Kota Kinabalu, juga berpendapat bahawa sambutan Aidilfitri Madani 2024 memberi peluang kepada kaum lain untuk bersama-sama meraikan dan merasakan kemeriahan suasana hari raya pada tahun ini, dengan pelbagai juadah enak disediakan penganjur.

Mohd Yaakob turut berkongsi perasaan gembira kerana berpeluang bertemu dan bersalaman dengan Perdana Menteri buat kali pertama.

"Perasaan sungguh teruja kerana kali pertama bertemu dan nampak Perdana Menteri depan-depan,” katanya.

Majlis sambutan Aidilfitri Madani 2024 menandakan bermulanya Jelajah Kembara Perpaduan sempena Sambutan Minggu Perpaduan 2024 yang bakal disambut pada Mei ini.

Sabah antara tujuh negeri dipilih bagi menganjurkan Majlis Aidilfitri Madani Bersama Perdana Menteri, selain penganjuran di peringkat negeri sehingga Mei melibatkan Johor, Melaka, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang sebelum berakhir di Terengganu. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!