Pesawah di Kedah cenderung guna varieti MR297

Pesawah di Kedah lebih cenderung guna benih padi MR297. (Gambar kecil: Abdul Rashid)
Pesawah di Kedah lebih cenderung guna benih padi MR297. (Gambar kecil: Abdul Rashid)
A
A
A

ALOR SETAR - Pesawah di negeri ini lebih cenderung untuk menggunakan benih padi MR297 berikutan ia didakwa lebih tahan lasak dan kurang risiko tumbang.

Exco Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, kira-kira 90 peratus pesawah di Kedah dipercayai menggunakan varieti MR297 berbanding varieti lain.

Beliau berkata, kebanyakan pesawah juga memilih varieti padi ini kerana percaya ia mampu memberi pulangan lebih tinggi berbanding varieti lain.

"Bagaimanapun, pesawah tidak boleh terlalu bergantung kepada varieti padi semata-mata walaupun ada varieti padi tertentu memiliki kelebihan dan kemampuan tersendiri.

"Ini kerana lama-kelamaan varieti MR297 juga dikhuatiri menunjukkan kerentanan kepada serangan penyakit dan perosak," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau menambah, varieti MR297 juga kini memerlukan penggunaan air lebih banyak berbanding varieti seperti NMR152, manakala tempoh masa tuai juga lebih daripada varieti itu.

Kata Abdul Rashid, kebanyakan pesawah di Kedah menggunakan varieti MR297 disebabkan tiada pilihan lain termasuklah merasakan varieti ini terbaik ketika ini.

Beliau bagaimanapun melahirkan kebimbangan, varieti MR297 mula menunjukkan kerentanan kepada serangan penyakit.

Artikel Berkaitan:

"Kita bimbang sekiranya semua menggunakan varieti MR297 dan kemudiannya berlaku wabak, maka semua padi rosak.

"Jadi, jikalau lebih pilihan lebih baik," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap, pihak berkaitan dapat memperbanyak dan memperluaskan inovasi serta mempelbagaikan varieti padi selain varieti sedia ada untuk meningkatkan hasil tanaman dan menjamin sekuriti makanan negara.

"Walaupun ada varieti padi tertentu bagus, namun ia juga perlu mengikut kesesuaian kawasan memandangkan ada kawasan tidak sesuai.

"Jadi, adalah lebih baik pihak berkaitan mempelbagaikan varieti padi mengikut kesesuaian kawasan masing-masing," katanya.

Tambah beliau, varieti padi perlu dipelbagaikan supaya petani ada banyak pilihan benih mengikut kesesuaian kawasan tanaman masing-masing.

Dalam masa sama, beliau berkata, pesawah di negeri ini perlu bersedia mencuba ataupun menggunakan varieti padi lain selain MR297 yang kerap digunakan di Kedah.

Abdul Rashid berkata, ia termasuklah varieti padi NMR152 yang didakwa mempunyai pelbagai kelebihan termasuklah tahan serangan penyakit.

"Seperti MR297 (ketika diperkenalkan) pada peringkat awal, segelintirnya tidak berapa terima, namun lama-kelamaan sudah boleh terima," katanya.

Beliau berkata, NMR152 didapati membantu daripada genetik dan pembiakbakaan serta kurang penggunaan air dan tahan serangan penyakit.

Beliau bagaimanapun mengingatkan, pesawah tidak meletakkan 100 peratus kepada varieti padi sahaja tetapi perlu melakukan pemantauan, penjagaan dan kawalan.

Sebelum ini, media melaporkan projek perintis tanaman padi menggunakan padi jenis NMR152 akan dilaksanakan di kawasan tanah terbiar, berkeluasan kira-kira lapan hektar di mukim Kota Lama Kanan, Kuala Kangsar, Perak.

Padi jenis NMR152 dihasilkan Agensi Nuklear Malaysia dipilih kerana ia bukan hanya mengambil masa selama 110 hari untuk dituai, bahkan tahan dalam keadaan cuaca ekstrem, serangan penyakit dan kurang menggunakan air.


Ciri-ciri varieti padi NMR297

*Tahan lasak

*Kurang risiko tumbang

*Hasil lebih tinggi

*Tempoh masa lebih 110 hari untuk dituai

Ciri-ciri varieti padiNMR152

*Tahan cuaca ekstrem

*Tahan serangan penyakit

*Tempoh masa dalam 110 hari untuk dituai

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28