UPM hasilkan padi tahan lasak, mampu hidup dalam cuaca panas

Kawasan sawah yang ditanam padi CR hidup subur kerana sangat lasak dalam cuaca kemarau.
Kawasan sawah yang ditanam padi CR hidup subur kerana sangat lasak dalam cuaca kemarau.
A
A
A

KOTA BHARU - Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) mengiktiraf varieti padi yang dinamakan Climate Ready Seeds itu (CR) kerana sangat tahan lasak dan mampu hidup dalam cuaca panas melampau.

Pengerusi KADA, Muhammad Husain berkata, pihaknya bercadang membawa jenis padi yang dibangunkan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) itu ke Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan supaya menelitinya untuk ditanam pada musim akan datang.

"Kita harap proses pemilihan benih dilakukan secepat mungkin bagi membantu petani supaya dapat mengembalikan keuntungan mereka selepas mengalami saat getir musim ini," katanya.

Menurut beliau, sebanyak enam hektar padi jenis itu ditanam di Muling, Padang Mokan di sini.

"Usia padi berkenaan sudah mencapai 83 hari, namun masih segar dan sihat walaupun ketiadaan air sejak 35 hari lalu.

"Benih padi rintang kemarau itu kini dalam kajian dan sudah tiga musim menjalani ujian kemarau dan cuaca panas," katanya melalui kenyataan pada Khamis.

Beliau sebelum itu melakukan lawatan di kawasan sawah berkenaan dan berpuas hati dengan keadaan sawah padi itu.

Hasil lawatan berkenaan juga, Muhammad percaya padi CR menjadi pencetus kepada kebangkitan petani model baharu pada masa akan datang.

Artikel Berkaitan:

"Saya melihat ada jalan keluar daripada kemelut ini dan dan berharap petani dapat terus meningkatkan hasil padi dengan lebih baik selepas ini," katanya.

Jelas beliau lagi, kemarau melampau sejak beberapa tahun kebelakangan ini turut memberi kesan terhadap tanaman padi terutama di negeri Kelantan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28