Banjir kilat: Kerosakan infrastruktur dianggar cecah RM1 juta

Aminuddin
Aminuddin
A
A
A

SEREMBAN - Kerugian membabitkan kerosakan infrastruktur di beberapa daerah di Negeri Sembilan akibat banjir kilat susulan hujan lebat pada Selasa, dianggarkan mencecah RM1 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ketika ini laporan penuh dan terperinci sedang diselaraskan di peringkat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dan Negeri.

"Kejadian hujan lebat semalam dengan keamatan tinggi direkodkan menyebabkan kenaikan paras air di sepanjang jajaran Lembangan Sungai Linggi sehingga melepasi paras bahaya.

"Ia seterusnya mengakibatkan banjir kilat di beberapa kawasan di Seremban, Rembau dan Port Dickson dalam tempoh dua jam dengan taburan hujan antara 75 milimeter hingga 93 milimeter," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini pada Rabu.

Ujarnya, jumlah kerosakan itu termasuk tebing dan tanah runtuh, bagaimanapun banjir kali ini tidak seteruk pada tahun 2021.

"Bantuan pascabanjir seperti pembersihan rumah, penyerahan kit makanan dan bantuan asas telah dilaksanakan untuk semua mangsa yang terjejas akibat kejadian ini," katanya.

Media sebelum ini melaporkan dua pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka setakat ini membabitkan PPS di Balai Raya Permatang Pasir, Port Dickson dan sebuah lagi dibuka pada 12.30 tengah hari Rabu di Surau Kampung Nerambai, Lubok China, Rembau menjadikan keseluruhan 70 mangsa.

Dalam pada itu, Aminuddin turut menasihatkan semua penduduk untuk tidak membuang sampah ke dalam sungai yang akhirnya memberi kesan terhadap ekosistem sungai selain boleh menjejaskan loji rawatan air.

Artikel Berkaitan:

“Jangan jadikan sungai sebagai tempat lepas geram kerana malas nak buang di tempat sepatutnya. Buang di sungai akhirnya sungai kotor.

"Sebelum ini Loji Linggi yang membekalkan air ke kawasan Port Dickson terpaksa ditutup untuk kerja pembersihan akibat sampah-sarap,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28