'Kami dah biasa hadap banjir'

Penghuni Pusat Pengajian Anak Yatim dan Warga Emas Darul Widad ditempatkan di PPS Permatang Pasir.
Penghuni Pusat Pengajian Anak Yatim dan Warga Emas Darul Widad ditempatkan di PPS Permatang Pasir.
A
A
A

PORT DICKSON - Penghuni Pusat Pengajian Anak Yatim dan Warga Emas Darul Widad di Linggi di sini mendakwa yang mereka sudah biasa berdepan dengan masalah banjir kilat setiap kali hujan lebat.

Dalam kejadian lewat petang Selasa, kawasan berkenaan antara yang terjejas akibat banjir kilat susulan hujan lebat luar biasa lebih tiga jam.

Penghuni Pusat Pengajian Anak Yatim dan Warga Emas Darul Widad ditempatkan di PPS Permatang Pasir.
Penghuni Pusat Pengajian Anak Yatim dan Warga Emas Darul Widad ditempatkan di PPS Permatang Pasir.

Ia sekali gus menyebabkan 40 penghuni warga emas berusia antara 64 hingga 85 tahun terpaksa dipindahkan ke pusat penempatan sementara (PPS) Balai Raya Permatang Pasir.

Norpiah Ujod, 70 yang sudah enam tahun tinggal di situ berkata, mereka biasanya akan mengambil langkah berjaga-jaga setiap kali hujan lebat kerana kemungkinan air sungai Linggi akan naik secara tiba-tiba.

"Macam kejadian semalam (Selasa), petang itu dah hujan dan lebih kurang jam 10 malam, air dah mula naik.

"Kami kemudian berkumpul di surau kerana kawasannya lebih tinggi dan lebih kurang jam 12 tengah malam bomba datang membuat pemantauan sebelum arahkan kami berpindah kerana trend air yang terus meningkat," katanya kepada Sinar Harian ditemui di PPS Balai Raya Permatang Pasir di sini pada Rabu.

Menurutnya, mereka tidak pasti bila boleh dibenarkan berpindah semula ke situ dan akan menunggu arahan daripada pihak berwajib.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, sebelum ini mereka pernah tinggal di PPS selama tiga hari berikutan banjir.

Air Sungai Linggi yang melimpah ke jalan raya akibat banjir kilat berlaku.
Air Sungai Linggi yang melimpah ke jalan raya akibat banjir kilat berlaku.

"Banjir berlaku mungkin disebabkan pertembungan antara air Sungai Linggi dan pantai kerana hujan lebat yang berlaku di Seremban," katanya.

Sementara itu, Jamaliah Bakar, 67, pula berkata, itu kali pertama dia berdepan dengan masalah banjir sejak tinggal di situ setahun lalu.

"Penghuni yang tinggal lama di sini beritahu yang mereka sudah biasa hadap banjir dan sebab itu selepas Isyak kami mula mengemas barang masing-masing kerana tengok hujan tak berhenti.

"Kami semua baru saja balik ke asrama Ahad lalu selepas dibenarkan cuti raya. Tak sangka pula baru dua hari balik, berlaku banjir pula," katanya.

Dalam pada itu menerusi kenyataan Pusat Kawalan Operasi Bencana, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia(APM) Negeri Sembilan memaklumkan, selain PPS di Permatang Pasir, sebuah lagi PPS dibuka iaitu di Surau Kampung Nerambai, Rembau.

Katanya, PPS berkenaan dibuka pada jam 12.30 tengah hari dan menempatkan seramai 10 mangsa.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28