'Penat pulang beraya belum hilang, terpaksa pindah ke PPS'

Keadaan rumah pasangan Haslizan dan Mohd Saaid di Jalan Gajah 15, Sungai Buloh (kiri), Haslizan
Keadaan rumah pasangan Haslizan dan Mohd Saaid di Jalan Gajah 15, Sungai Buloh (kiri), Haslizan
A
A
A

SUNGAI BULOH - Seorang wanita mengandung yang baru dua hari pulang beraya dari Kelantan terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) apabila rumahnya di Jalan Gajah 15 di sini, dinaiki air dalam kejadian pada Selasa.

Haslizan Mat Hussin, 42, berkata, sepanjang minggu lalu dia dan keluarganya pulang berhari raya di Felda Kemahang di Tanah Merah, Kelantan dan pulang semula ke rumah mereka pada Ahad malam.

Ujarnya, dia tinggal bersama suaminya, Mohd Saaid Arshad, 42, serta anak perempuan mereka, Nur Alesha Safia, 7.

Mohd Saaid Arshad
Mohd Saaid Arshad

"Kami sampai rumah pada Ahad dan penat mengharungi kesesakan jalan belum pun reda tapi sekarang kami ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Merbau Sempak kira-kira jam 11 malam tadi.

"Banjir kilat kerap berlaku sepanjang empat tahun lalu dan kawasan rumah akan tenggelam apabila air sungai berhampiran melimpah," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Rabu.

Haslizan sempat memindahkan barang di tempat tinggi selepas rumah mereka mula dinaiki air.
Haslizan sempat memindahkan barang di tempat tinggi selepas rumah mereka mula dinaiki air.



Suaminya, Mohd Saaid menambah, rumahnya dinaiki air kerana terletak di kawasan rendah, justeru mereka tidak teragak-agak untuk pindah ke PPS kerana bimbang akan keselamatan diri dan keluarga.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Abdul Razak Hashim, 66, dari Jalan Gajah 15, berkata, air mula naik di sekitar rumahnya kira-kira jam 7 malam pada Selasa menyebabkan dia mengambil keputusan pindah ke PPS.

Abdul Razak
Abdul Razak

"Ini merupakan kali kedua dalam tempoh enam bulan, sebelum ini pada Disember tahun lalu dan kali ini kerugian agak besar kerana banyak barang di rumah tidak sempat untuk diselamatkan.

"Semua barangan perabot dan peralatan elektrik yang diletakkan di tempat rendah dikhuatiri rosak dan jika rosak kami anggarkan jumlah kerugian sekitar RM3,000," katanya ketika ditemui di PPS SK Merbau Sempak.

Tinjauan Sinar Harian di kawasan sekitar kampung berkenaan pada petang Rabu juga mendapati ada beberapa penduduk pulang ke rumah untuk memastikan rumah mereka tidak diceroboh.

Ada juga yang mengalihkan kenderaan ke kawasan yang lebih tinggi dan selamat bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku kerana keadaan cuaca masih tidak menentu.

Terdahulu, Pegawai Daerah Petaling, Rahilah Rahmat ketika ditemui Sinar Harian berkata, sehingga jam 8 pagi terdapat 77 keluarga melibatkan 334 mangsa banjir dari tiga kampung dipindahkan ke PPS berkenaan.

"Kita jangkakan ada lagi mangsa berpindah masuk ke PPS bergantung kepada keadaan cuaca dan ketika ini keadaan cuaca masih lagi hujan namun tidak selebat malam tadi," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28