Banjir kilat landa Sungai Buloh, satu PPS dibuka

Keadaan banjir kilat yang melanda Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh pada Selasa - gambar FB
Keadaan banjir kilat yang melanda Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh pada Selasa - gambar FB
A
A
A

SUNGAI BULOH - Sebuah pusat penempatan sementara (PPS) dibuka di Kampung Merbau Sempak di sini, susulan insiden banjir melanda di sekitar Jalan Gajah 16, Jalan Gajah 23 dan Jalan Gajah 24.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi memaklumkan dianggarkan sekitar 50 buah rumah terjejas dan setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

"Semua mangsa sedang dipindahkan ke PPS oleh penguat kuasa Pejabat Daerah dan Tanah Petaling dan pendaftaran mangsa sedang dijalankan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat," katanya dalam satu hantaran di aplikasi X pada Selasa malam.

Najwan yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik itu berkata, sebarang maklumat akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Pada Selasa, hujan lebat lebih sejam menyebabkan beberapa kawasan di Kampung Melayu Subang dan di Sungai Buloh dilanda banjir kilat.

Tangkap layar hantaran Najwan di aplikasi X pada Selasa malam.
Tangkap layar hantaran Najwan di aplikasi X pada Selasa malam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar dilaporkan berkata, pihaknya menerima dua panggilan kecemasan berhubung kejadian banjir, iaitu pertama di Jalan Jati, Kampung Melayu Subang jam 4.47 petang.

Seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong bersama dua jentera serta sebuah bot dikejarkan ke lokasi.

Artikel Berkaitan:

"Kami dimaklumkan banjir berlaku akibat limpahan air sungai berhampiran, namun tiada pemindahan mangsa dilakukan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Ahmad Mukhlis berkata, pihaknya menerima satu lagi panggilan kecemasan berkaitan banjir di Jalan Gajah 23, Kampung Kubu Gajah jam 5.44 petang.

"Seramai lapan anggota bersama dua jentera serta sebuah bot dari BBP Sungai Buloh dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, kami dimaklumkan berlaku banjir di lokasi terbabit dengan anggaran air naik kira-kira 0.6 meter.

"Bagaimanapun, tiada pemindahan mangsa dilakukan dan paras air menunjukkan trend menurun," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!