Bayi enam bulan mati dibunuh, bapa ditahan

Laporan polis daripada seorang bapa mengenai kematian bayinya berusia enam bulan akibat kemalangan tidak benar apabila bedah siasat mendapati mangsa maut disebabkan perbuatan jenayah.
Laporan polis daripada seorang bapa mengenai kematian bayinya berusia enam bulan akibat kemalangan tidak benar apabila bedah siasat mendapati mangsa maut disebabkan perbuatan jenayah.
A
A
A

KAJANG - Laporan polis daripada seorang bapa mengenai kematian bayinya berusia enam bulan akibat kemalangan tidak benar apabila bedah siasat mendapati mangsa maut disebabkan perbuatan jenayah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintenden Mohamad Nasir Drahman berkata, pihaknya menerima satu maklumat daripada seorang lelaki iaitu bapa mangsa bahawa bayi lelaki itu berada dalam keadaan tidak sedar di rumah pada Isnin.

Beliau berkata, laporan yang diterima jam 8.52 pagi itu berlaku di Pangsapuri Baiduri, Bandar Tasik Kesuma, Beranang, dekat sini.

Kata beliau, hasil pemeriksaan awal mendapati tiada kecederaan di badan mangsa dan mayat telah dihantar ke Hospital Kajang untuk bedah siasat.

"Hasil bedah siasat mengesahkan kecederaan mangsa bukan disebabkan kemalangan tetapi ekoran perbuatan jenayah.

"Terdapat kecederaan di bahagian kepala, namun ia tidak kelihatan dari luaran.

"Namun apabila urusan bedah siasat dilakukan, kecederaan tersebut dapat dikesan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mohamad Nasir berkata, kes tersebut diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan serta jika sabit kesalahan boleh dihukum mati.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, pihaknya bertindak menahan suspek yang berusia 25 tahun semasa berada di pekarangan Unit Forensik, Hospital Kajang pada Isnin jam 11.30 malam.

Katanya, ujian air kencing ke atas suspek mendapati positif dadah jenis syabu.

Menurutnya, suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 22 April bagi siasatan lanjut.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat kejadian ini boleh berhubung dengan mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintenden S Vekram di talian 019-4737108 bagi membantu siasatan," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!