Tragedi bongkah batu: Penduduk gesa taman riadah dihenti operasi

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Penduduk Taman Saikat menggesa kerajaan negeri khususnya Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengambil iktibar daripada tragedi seorang pemandu pelancong warga tempatan yang maut ditimpa bongkah batu di Perkampungan Riadah dan Budaya Qing Xin Ling di sini minggu lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Taman Saikat, Surindar Singh berkata, kebimbangan penduduk terhadap tahap keselamatan di kawasan pelancongan itu akhirnya menjadi kenyataan apabila berlakunya tragedi.

Beliau berkata, penduduk telah menyuarakan bantahan dan rungutan sejak 2014 agar kawasan itu ditutup untuk sebarang aktiviti pelancongan, namun tidak diendahkan.

"Sekarang sudah berlaku tragedi yang meragut nyawa, adakah kita mahu menunggu lebih banyak nyawa akan terkorban barulah kita nak buka mata untuk bertindak tutup kawasan itu.

"Kami gesa agar kawasan itu diberikan semula haknya kepada penduduk taman kerana telah digazetkan sebagai kawasan hijau berdasarkan Rancangan Tempatan Bandaraya Ipoh (Penggantian) 2035 seperti yang diwartakan pada 19 Okt 2023 dengan nombor warta 504G," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Pada 8 April lepas, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad mengesahkan seorang lelaki warga tempatan berusia 44 tahun maut akibat ditimpa bongkah batu di kawasan perkampungan itu dalam kejadian yang berlaku sekitar pukul 11.30 pagi.

Ketika kejadian, mangsa yang berasal dari Pulau Pangkor sedang membawa rakannya warga Vietnam melawat tempat pelancongan berkenaan.

Susulan itu, kawasan pelancongan terbabit ditutup sementara sehingga laporan penuh insiden itu disiapkan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Penduduk Taman Saikat, Muzaffar Razman berkata, sejak kawasan pelancongan itu wujud penduduk taman berkenaan turut berdepan isu kesesakan lalu lintas sehingga mengganggu ketenteraman penduduk.

"Kami sudah berulang kali menyatakan kegelisahan penduduk kepada pihak yang berkaitan, namun tiada tindakan susulan dan kawasan operasi mereka makin luas.

"Apabila berlaku tragedi yang turut terpalitnya penduduk, bukan sahaja ketenteraman kami diambil, malah ada penduduk telah menyatakan kebimbangan nilai hartanah di taman ini akan terjejas dek kerana isu ini yang tiada penghujungnya," katanya.

Menurut Muzaffar penduduk taman itu hanya mahu kawasan berkenaan ditutup terus dan MBI wajar menguatkuasakan apa yang terkandung dalam rancangan tempatan terbabit. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!