Perak, USAS laksana projek perintis tanam padi NMR152 di tanah terbiar

Terdapat 40 hektar tanah terbiar di sekitar Kuala Kangsar dan lapan hektar daripada jumlah itu akan laksanakan projek perintis tanaman padi jenis NMR152 yang dihasilkan Agensi Nuklear Malaysia. Gambar hiasan (Gambar kecil Mohd Zolkafly)
Terdapat 40 hektar tanah terbiar di sekitar Kuala Kangsar dan lapan hektar daripada jumlah itu akan laksanakan projek perintis tanaman padi jenis NMR152 yang dihasilkan Agensi Nuklear Malaysia. Gambar hiasan (Gambar kecil Mohd Zolkafly)
A
A
A

IPOH - Perak dengan kerjasama Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) kini dalam perancangan melaksanakan projek perintis tanaman padi di kawasan tanah terbiar, berkeluasan kira-kira lapan hektar di mukim Kota Lama Kanan, Kuala Kangsar.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, kawasan tersebut akan ditanam dengan padi jenis NMR152, yang mampu mengeluarkan hasil sekitar lapan hingga 10 tan per hektar.

"Seperti dimaklumkan oleh pihak USAS, terdapat 40 hektar tanah terbiar di sekitar Kuala Kangsar. Lapan hektar daripada jumlah keseluruhan tanah terbiar itu, kita laksanakan projek perintis tanaman padi ini.

"Padi yang akan ditanam ialah jenis NMR152 dan dihasilkan oleh Agensi Nuklear Malaysia. Pemilihan padi jenis ini kerana ia bukan hanya mengambil masa selama 110 hari untuk dituai, bahkan tahan dalam keadaan cuaca ekstrem, serangan penyakit dan kurang menggunakan air,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri Naib Canselor USAS Datuk, Dr Wan Sabri Wan Yusof di sini hari ini.

Sementara itu, Wan Sabri berkata, projek perintis itu dilaksanakan di atas tanah terbiar yang merupakan bekas tapak sawah pada satu ketika dahulu.

"Kita telah buat kajian dan lawatan ke semua lokasi yang hendak dilaksanakan projek ini. Kita dapati ia bukan hanya bekas tanah sawah malah ada beberapa lokasi masih terdapat peralatan serta sistem saliran untuk kegunaan tanaman padi di situ,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: