MADA sambut baik cadangan wujud hab tanaman padi huma di Sik

Laporan Sinar Harian pada Rabu.
Laporan Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menyambut baik cadangan hab tanaman padi huma diwujudkan di daerah Sik, Kedah sebagai alternatif menambah bekalan beras putih tempatan (BPT).

Pengerusinya, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, hasrat Kedah perlu disokong memandangkan ia akan menjadi pelengkap kepada keseluruhan industri padi.

"Saya yakin sekiranya industri padi huma diperbesarkan dengan varieti lebih banyak maka ia mampu menurunkan kos lagi.

"Jadi, cuba bayangkan kita ada padi sawah di dalam dan luar kawasan MADA serta ada padi huma (yang) komplemen antara satu sama lain," katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka MADA, Ampang Jajar di sini pada Khamis.

Beliau memaklumkan, cadangan tersebut disifatkan baik, malah kerajaan pusat juga mempunyai peruntukan untuk pelaksanaan tanaman padi huma.

"Maknanya, kita tidak bersaing tapi komplemen antara satu sama lain dan saya sambut baik (cadangan)," katanya.

Beliau turut mengesyorkan supaya lebih banyak lagi kawasan yang berpotensi untuk padi huma diusahakan di Kedah.

Artikel Berkaitan:

Ismail turut berharap usaha dilakukan untuk mencari kaedah menurunkan lagi kos penanaman padi huma demi merealisasikan hasrat itu.

"Jikalau saya, saya mahu usahakan dan pastikan bahawa kos untuk mengeluarkan padi huma itu dikurangkan lagi sebab sekarang kosnya tinggi dan menyebabkan harganya juga tinggi.

"Harga tinggi (lebih kurang) RM4 sekilogram, jadi jikalau 10 kilogram (kg) (mencecah) RM40," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, daerah Sik disasar menjadi hab tanaman padi huma di Kedah sebagai langkah alternatif menambah bekalan BPT.

Sehubungan itu, beliau menyarankan penduduk negeri itu mengusahakan tanaman padi huma sebagai alternatif menambah bekalan BPT sedia ada berbanding ubi kayu.

Menurut Muhammad Sanusi lagi, nasi yang dihasilkan daripada beras sama ada padi biasa atau huma, lebih mengenyangkan berbanding makanan ubi kayu seperti yang dicadangkan sebelum ini.

Dalam perkembangan lain, Ismail memaklumkan, MADA menguruskan tiga empangan di Kedah iaitu Empangan Ahning, Empangan Muda dan Empangan Pedu.

Setakat ini, beliau memberi jaminan sumber air di empangan berkenaan termasuklah Empangan Muda masih mencukupi menampung keperluan domestik penduduk.

Jelas beliau, Empangan Muda akan menyokong takungan air di Empangan Pedu dengan paras air ketika ini lebih 70 peratus dan boleh bertahan sehingga habis musim penanaman padi.

"Jadi, saya yakin bekalan air kita masih mampu membekalkan air sehingga bulan enam nanti walaupun tanpa ketiadaan hujan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!