Bekas cef buktikan bunga kantan mampu raih untung

Saqdam menjual sendiri bunga kantan yang dituainya kepada pembeli, kedai dan pasar raya di sekitar Lembah Klang.
Saqdam menjual sendiri bunga kantan yang dituainya kepada pembeli, kedai dan pasar raya di sekitar Lembah Klang.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang bekas cef berjaya menangkis tanggapan kononnya bunga kantan tidak mempunyai potensi untuk dikomersialkan apabila dia mampu menjana keuntungan daripada ladang kantannya di Bangi sejak sembilan tahun lalu.

Malah, kejayaan mengusahakan ladang seluas 1.2 hektar itu turut mendorong Saqdam Zaim Arffain, 33, berkongsi ilmunya dengan orang ramai bagi melihat lebih ramai usahawan mengusahakan tanaman itu.

Menurut Saqdam, pengusaha boleh meraih pendapatan lumayan terutama pada musim perayaan kerana harga bunga kantan boleh mencecah hingga RM5 sebatang.

Katanya, di luar musim perayaan sekali pun harganya tetap kompetitif iaitu sekitar RM1.50 hingga RM2 sebatang.

“Saya nekad untuk usahakan tanaman bunga kantan walaupun ada orang cakap bunga kantan kurang permintaan dan tak ada potensi lepas saya buat kajian sendiri terhadap tanaman ini.

“Jadi bermula dengan hanya lapan rumpun pokok kantan, selepas itu seluruh kawasan ladang dipenuhi dengan tanaman ini,” katanya kepada Sinar Harian.Ladang bunga kantannya pernah mempunyai lebih kurang 800 rumpun yang menghasilkan jualan bunga kantan dan benih bernilai kira-kira RM5,000 hingga RM10,000 sebulan.

Rentetan pencapaian yang diraih itu, Saqdam yang memiliki Diploma Pengajian Hotel dan Katering daripada Politeknik Sultan Idris Shah, Sabak Bernam menawarkan kursus penanaman kantan pada tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Ladang bunga kantan Saqdam yang terletak di Bangi sentiasa menerima kunjungan daripada orang luar.
Ladang bunga kantan Saqdam yang terletak di Bangi sentiasa menerima kunjungan daripada orang luar.

Saqdam berkata, dia terpanggil untuk berkongsi ilmu menerusi kursus sebegitu setelah ramai yang datang berjumpanya untuk belajar daripada pengalamannya membangunkan ladang kantan.

Bagaimanapun, sudah menjadi lumrah setiap usahawan tidak dapat lari daripada melalui fasa jatuh dalam perniagaan yang diusahakan dan begitulah juga berlaku kepadanya.

“Tahun ini sangat mencabar bagi saya apabila tanaman kantan diserang penyakit. Boleh dikatakan hampir semua tanaman kantan di ladang saya ‘tumpas’ satu persatu.

“Simptom penyakit itu boleh dilihat dan dikesan daripada tanda utamanya iaitu bahagian hujung pucuk pelepah bertukar kekuningan, layu dan mati.

“Tanda jelas keduanya ialah kesan lebam pada potongan bahagian dalam pelepah. Bahagian umbut teras pelepah pula mula membusuk. Tanda ini secara tidak langsung menunjukkan pokok sudah dijangkiti hingga boleh mengakibatkan pokok mati secara keseluruhannya,” jelasnya.

Beliau berkata, keadaan itu adalah pengalaman baharu buatnya sejak bergelar usahawan bunga kantan bermula tahun 2015.

“Jadi ia menunjukkan ada lagi perkara yang perlu saya teliti untuk modul kajian saya.

“Keadaan sebegini menambahkan lagi pengetahuan saya dalam bidang tanaman ini” ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28