Amanah Tanjong Karang, Shah Alam lapor polis terhadap Hadi

Isa (dua dari kiri) dan Mohd Shahrul (dua dari kanan) bersama dua lagi ahli Amanah Kawasan Tanjong Karang membuat laporan polis di Balai Polis Tanjong Karang pada Khamis.
Isa (dua dari kiri) dan Mohd Shahrul (dua dari kanan) bersama dua lagi ahli Amanah Kawasan Tanjong Karang membuat laporan polis di Balai Polis Tanjong Karang pada Khamis.
A
A
A

KUALA SELANGOR - [DIKEMAS KINI] Parti Amanah Negara (Amanah) Kawasan Tanjong Karang membuat laporan polis terhadap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung penulisannya yang didakwa berbaur provokasi dan fitnah terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dimuat naik di media sosial sejak Rabu.

Ketua Amanah Kawasan Tanjong Karang, Isa Ramli dan tiga lagi ahli parti itu membuat laporan di Balai Polis Tanjong Karang kira-kira jam 1.20 tengah hari.

Isa berkata, polis sewajarnya menyiasat Abdul Hadi yang mengeluarkan kenyataan menimbulkan ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

"Kita bimbang kenyataan seperti ini boleh menimbulkan suasana huru-hara yang boleh menyebabkan berlaku ketidakstabilan politik di negara ini," katanya ketika ditemui pada Khamis.

Menurut beliau, tindakan tegas perlu diambil berhubung kenyataan seperti itu kerana tuduhan tersebut serius.

"Unsur-unsur yang merosakkan keharmonian dalam masyarakat ini perlu dicegah lebih-lebih kenyataan ini memberi gambaran tidak baik kepada kerajaan yang ada pada hari ini," ujarnya.

Ketua Pemuda Amanah Kawasan Tanjong Karang, Mohd Shahrul Adib Misnani berkata, tuduhan jahat itu mampu mempengaruhi pemikiran anak muda terhadap kerajaan.

Jelasnya, kenyataan itu sangat berbahaya yang boleh menimbulkan perasaan tidak selesa dalam kalangan rakyat Malaysia yang mencintai keamanan.

Artikel Berkaitan:

"Kenyataan ini menggores hati semua umat Islam dan kita berharap kerajaan bertindak tegas bagi memastikan tiada pihak cuba membuat pelbagai tuduhan melampau," kata beliau.

 Azli (tengah) membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam pada Khamis.
Azli (tengah) membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam pada Khamis.

Sementara itu, Amanah Kawasan Shah Alam turut membuat laporan polis terhadap Presiden Pas di Balai Polis Seksyen 6.

Ketuanya, Azli Yusof berkata, laporan dibuat berikutan penulisan Abdul Hadi bertajuk 'Cara orang munafik menentang Islam diikuti Israel dan PH' yang dimuat naik di media sosial pada Rabu.

"Penulisan tersebut adalah satu pembohongan, fitnah dan tuduhan jahat yang jelas tidak benar sama sekali," katanya seperti dilaporkan dalam salinan laporan yang dibuat pada Khamis.

Menurutnya yang juga Ahli Parlimen Shah Alam, penulisan Abdul Hadi itu juga merupakan satu bentuk hasutan yang mencabar kuasa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Ia juga boleh menjejaskan keharmonian serta ketenteraman awam dan memecahbelahkan masyarakat selain boleh menimbulkan permusuhan serta kebencian di kalangan rakyat.

"Ini merupakan satu kesalahan yang boleh disiasat bawah Kanun Keseksaan, Akta Hasutan, Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multi Media dan undang-undang lain yang berkaitan," katanya.

Pada Rabu, penulisan Abdul Hadi dalam Minda Presiden Pas bertajuk 'Cara orang munafik menentang Islam diikuti Israel dan PH' itu disiarkan di laman Facebook Pas.