15 kedai, stesen minyak di Pekan Kota dilanda banjir kilat

Keadaan banjir kilat di stesen minyak di Pekan Kota, Rembau. Foto media sosial
Keadaan banjir kilat di stesen minyak di Pekan Kota, Rembau. Foto media sosial
A
A
A

REMBAU - 15 kedai dan satu stesen minyak di Pekan Kota, di sini terjejas selepas berlaku banjir kilat akibat hujan lebat pada petang Isnin.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Pengurusan Bencana Daerah (JKPBD) Rembau, Mohd Zamri Mohd Esa berkata, hujan lebat kira-kira jam 6 petang itu berlarutan sehingga satu jam menyebabkan limpahan air mencecah setengah meter.

"Kawasan rendah terjejas akibat situasi ini yang mana limpahan air dari sistem perparitan dan jalan raya tidak dapat menampung taburan hujan semasa.

"Kerja-kerja pembersihan sistem perparitan sedia ada akan dilakukan sebagai tindakan jangka pendek sebelum tindakan susulan penyelesaian jangka panjang dilaksanakan," katanya pada Isnin.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota, Pegawai Bomba Tinggi (PBT), Zaini Saleh berkata, air mulai naik sekitar jam 6.15 petang dan surut pada jam 8.15 malam.

"Tiada pemindahan mangsa di lokasi dan keadaan terawal. Pasukan bomba akan terus buat pemantauan dari masa ke masa," katanya.

Sebelum itu, sebuah video memaparkan keadaan Pekan Kota turut dikongsi oleh orang ramai di pelbagai medium media sosial.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Artikel Berkaitan: