Pekan Sungai Lembing dilanda banjir kilat

Keadaan pekan Sungai Lembing selepas paras air sungai di kawasan terbabit melepasi paras bahaya. - Foto: ADUN Sungai Lembing, gambar kecil: Mohamad Ayub
Keadaan pekan Sungai Lembing selepas paras air sungai di kawasan terbabit melepasi paras bahaya. - Foto: ADUN Sungai Lembing, gambar kecil: Mohamad Ayub
A
A
A

KUANTAN - Hujan lebat sejak Sabtu menyebabkan berlaku banjir kilat di pekan Sungai Lembing selepas bacaan paras air sungai itu melepasi paras bahaya pada Ahad.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Mohamad Ayub Mat Ashri berkata, air mula naik di pekan Sungai Lembing kira-kira jam 6.57 petang.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan paras air sungai mula naik sebelum melimpah ke kawasan rendah.

"PPS (pusat pemindahan sementara) akan dibuka, namun jumlah mangsa masih belum dipastikan lagi," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan penduduk agar sentiasa mengikuti arahan pihak berkuasa yang sedang bertugas di tempat tersebut.

Jelasnya, pasukan menyelamat telah bersiap siaga untuk menjalankan tugas pemantauan dan menyelamat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, air banjir di pekan Sungai lembing sepanjang 200 meter dengan kedalaman satu meter.

"Setakat ini keadaan air bertahan dan tiada perpindahan mangsa manakala laluan di pekan Sungai Lembing ditutup kepada semua kenderaan," katanya.

Artikel Berkaitan: