Bukan sekadar lokasi pelancongan

Tengku Mohd Ali menunjukkan koleksi botol yang dipamerkan di Rumah Botol Ayahku di Kampung Penarik, Setiu baru-baru ini.
Tengku Mohd Ali menunjukkan koleksi botol yang dipamerkan di Rumah Botol Ayahku di Kampung Penarik, Setiu baru-baru ini.
A
A
A

SETIU - Bermula sekadar hobi dengan mengutip botol hanyut di pesisir pantai, kini seorang pesara tentera boleh berbangga apabila berjaya membuka sebuah galeri dinamakan sebagai Rumah Botol Ayahku di Kampung Penarik di sini.

Tengku Mohd Ali Tengku Mansor, 80, berkata, setakat ini galeri yang dibina pada 2017 itu berjaya mengumpul dan mempamerkan lebih 15,000 barangan termasuk botol kaca, pelampung dan pelbagai jenis botol minyak wangi.

Menurutnya, dia mengambil inisiatif memungut botol tersebut pada setiap pagi selepas mendapati banyak botol yang terbuang di pantai berhampiran Kampung Penarik dan Kampung Mangkuk.

Tengku Mohd Ali di hadapan Rumah Botol Ayahku.
Tengku Mohd Ali di hadapan Rumah Botol Ayahku.

“Saya pernah berjalan kaki sejauh lima kilometer selepas solat Subuh semata-mata nak kutip botol yang terbuang di tepi pantai. Kebiasaan botol yang hanyut ini banyak dijumpai pada bulan Disember hingga Februari.

“Ini kerana pada tempoh itu berlaku ombak besar sekali gus memudahkan saya untuk mengutip botol yang kelihatan unik, memiliki bentuk menarik dan jarang ditemui dari pelbagai negara di pesisir pantai Terengganu.

“Niat saya kutip botol ingin sampaikan mesej kepada orang ramai terutama anak muda supaya tidak membuang sampah merata-rata selain menjaga alam sekitar ini dengan baik,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Rumah Botol Ayahku di sini baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Antara koleksi botol hanyut yang disimpan di Rumah Botol Ayahku.
Antara koleksi botol hanyut yang disimpan di Rumah Botol Ayahku.

Mengulas lanjut, Tengku Mohd Ali berkata, dia turut memanfaatkan serpihan botol kaca pecah yang dijumpai untuk dijadikan seakan botol dan diletakkan dalam bingkai gambar.

“Saya difahamkan botol kaca pecah yang dijumpai ini dibuat pada zaman perang dan sebelum merdeka. Idea untuk hasilkan cantuman kaca pecah tercetus semasa pandemik Covid-19 apabila Rumah Botol Ayahku ditutup kepada pelawat.

“Kaca pecah ini dipungut di Pulau Redang pada tahun 1999 dan amat sayang sekali jika ia dibuang begitu sahaja.

"Jadi saya manfaatkan kaca pecah ini dengan mencantumkannya dalam bingkai gambar yang mengambil masa selama tiga jam untuk disiapkan,” ujarnya.

Antara koleksi cantuman kaca botol pecah yang diletakkan dalam bingkai gambar.
Antara koleksi cantuman kaca botol pecah yang diletakkan dalam bingkai gambar.

Dalam pada itu, Tengku Mohd Ali berkata, usaha mengutip botol dan menyimpannya sebagai koleksi tersebut juga dijadikan sebagai medium untuk menyampaikan dakwah serta nilai-nilai murni kepada pengunjung yang hadir terutama pelajar sekolah dan universiti.

Tarikan pelancongan

Katanya, galeri Rumah Botol Ayahku kini merupakan antara lokasi yang menjadi produk tarikan pelancongan setiap kali mengunjungi daerah Setiu.

“Tiada bayaran dikenakan untuk masuk ke Rumah Botol Ayahku ini kerana niat saya hanya untuk mendidik orang ramai agar sentiasa amalkan kitar semula dan menjaga alam.

“Pengunjung yang datang bukan saja berpeluang melihat keunikan koleksi botol dipamerkan di sini malah memberi kesedaran terhadap mereka mengenai Islam dan cintakan alam sekitar,” ujarnya.

Tengku Mohd Ali menunjukkan ruangan koleksi botol di Rumah Botol Ayahku yang terletak di Kampung Penarik, Setiu baru-baru ini.
Tengku Mohd Ali menunjukkan ruangan koleksi botol di Rumah Botol Ayahku yang terletak di Kampung Penarik, Setiu baru-baru ini.

Menurut Tengku Mohd Ali, kini galeri tersebut berjaya menarik lebih 15,000 pengunjung pada setiap bulan.

“Sambutan diterima amat menggalakkan dan saya pernah menerima pelancong dari luar negara seperti Jerman, Perancis dan Tunisia yang sanggup datang ke sini kerana tertarik dengan Rumah Botol Ayahku selepas melihat video tentang koleksi botol ini menerusi YouTube,” ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!