9 maut, 15 hilang selepas bot bawa migran karam dekat Itali

Gambar hiasan. Foto 123RF
Gambar hiasan. Foto 123RF
A
A
A

ROM - Sekurang-kurangnya sembilan maut dan 15 lagi masih hilang pada Khamis selepas sebuah bot membawa migran terbalik di perairan selatan Itali pada Rabu.

Menurut Pengawal Pantai Itali dan kumpulan pemerhati bukan kerajaan, bot yang membawa 46 orang dari Burkina Faso, Guinea, Ivory Coast dan Mali terbalik dan tenggelam dalam keadaan angin kencang lewat Rabu, tiga hari selepas ia belayar dari Sfax, Tunisia, Xinhua memetik laporan agensi berita Itali, ANSA.

Pengawal pantai berkata, anggotanya menyelamatkan 22 orang dan membawa keluar lapan mayat termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia antara empat hingga lapan tahun.

Seorang lagi mangsa, seorang kanak-kanak lelaki meninggal dunia sebelum sempat di hantar ke hospital.

Mereka yang terselamat dan mayat mangsa dibawa ke pusat pemprosesan migran di Lampedusa, pulau paling selatan di Itali.

Insiden itu dipercayai berlaku di perairan antara Lampedusa dan Malta.

Menurut data terkini daripada Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), jumlah keseluruhan ketibaan migran di Eropah menyeberangi Laut Mediterranean adalah di bawah 45,000 setakat 7 April kira-kira lebih 5,000 daripada yang dicatatkan dalam tempoh sama pada 2023.

Pada tahun lepas, Itali melaporkan pendaratan hampir 158,000 migran dan lebih daripada 1,900 kematian di laut. Ia menerima 14,600 migran melalui laut Mediterranean setakat tahun ini. - Bernama-Xinhua

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!